fbpx

Ops Selamat 18 : Kes kemalangan meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Statistik kemalangan jalan raya pada Ops Selamat 18 yang bermula pada 29 April hingga 8 Mei lalu mencatatkan sedikit peningkatan dengan 15,947 kes iaitu satu peratus(111 kes) berbanding Ops Selamat 15/2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia(PDRM) telah melaksanakan Ops Selamat 18 bersempena Hari Raya Aidilfitri selama 10 hari bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’.

Acryl Sani

“Fokus utama adalah memastikan aliran trafik lancar kepada pengguna jalan raya serta menjamin keselamatan harta benda atau premis kediaman dengan menurunkan kadar jenayah pecah rumah selain meminimumkan kes kemalangan sepanjang musim perayaan.

“Ops Selamat kali ini mencatatkan peningkatan dengan 15,947 kes dilaporkan iaitu meningkat satu peratus(111 kes) berbanding 15,836 kes bagi Ops Selamat 15/2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kes kemalangan maut pula merekodkan peningkatan sebanyak tujuh peratus (10 kes) dengan 160 kes berbanding 150 kes pada Ops Selamat 15/2019 manakala jumlah kematian pula merekodkan peningkatan sebanyak empat peratus(6 kes) dengan 166 kes.

“Peningkatan kes kemalangan disebabkan faktor pertambahan aliran kenderaan yang tinggi sehingga mencapai lima juta kenderaan disebabkan kepulangan orang ramai ke kampung namun PDRM masih mampu mengawal situasi tersebut di jalan raya.

“Kesesakan di jalan dan lebuh raya utama dapat dikawal dengan baik dengan Ops Lancar yang telah diatur gerak melibatkan semua elemen PDRM. Pemantauan di udara menggunakan aset PDRM juga dilihat berkesan dalam menangani keadaan luar jangka menjadi lebih buruk.

“Sebanyak 313 kes pecah rumah telah dilaporkan pada Ops Selamat kali ini yang menunjukkan penurunan drastik iaitu -42.6 peratus (232 kes) berbanding 545 kes pada Ops Selamat 15/2019,” jelasnya.

Katanya, menerusi Ops Selamat kali ini juga dapat melihat semangat Keluarga Malaysia apabila semua pihak bertoleransi dan berhemah di jalan raya bagi memastikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diraikan dengan selamat dan harmoni. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI