PETALING JAYA – Kematian seorang ibu muda kepada empat orang anak di sebuah rumah flat di Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad minggu lalu telah membongkar kisah penderitaannya selama ini yang dipercayai sering didera suaminya.
Adik perempuan kepada ibu muda itu mendakwa, berdasarkan cerita daripada anak kakaknya itu, bapa mereka dipercayai sering memukul wanita yang berusia 28 tahun tersebut sehingga mereka menangis ketakutan.
Bagaimanapun, adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Aliya memberitahu, kejadian tersebut langsung tidak diketahui oleh keluarga ketika itu.
“Kami ahli keluarga terkejut susulan hasil laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan arwah mempunyai pelbagai kesan lebam dan kecederaan di bahagian badan.
“Selepas keputusan bedah siasat keluar, keluarga memaksa anak-anak untuk berterus terang disebabkan mereka teramat takut untuk menceritakan hal sebenar.
“Mungkin suami kakak sudah memberi amaran kepada keempat-empat anaknya untuk merahsiakan perlakuannya di hadapan orang lain,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Aliya berkata, kakaknya itu juga jarang menceritakan masalah yang dialaminya kepada orang lain, namun arwah pernah bercerita dia telah dipukul pada awal April lalu.
“Kakak ada berkongsi gambar (dipukul), tetapi saya tidak percaya boleh jadi seteruk ini.
“Mengikut cerita daripada anak-anak arwah, abang ipar selalu memukul isteri sehingga mereka menangis ketakutan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aliya berkata, keluarganya amat terkilan kerana hanya dapat berjumpa mangsa seminggu sebelum hari raya.
“Kebetulan semasa malam sebelum arwah pergi, dia ada buat panggilan video untuk menunjukkan baju raya baharu kepada kami.
“Ketika itu, arwah langsung tidak menunjukkan sebarang petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya, jadi perkara ini sangat buat saya dan keluarga sangat terkilan,” katanya.
Tegas Aliya, keluarganya kini menuntut keadilan atas kematian mangsa dan mahu individu yang melakukan perkara kejam itu menerima balasan setimpal dengan kekejaman yang telah dilakukan terhadap mangsa.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di media sosial semalam pula mendapati, ibu saudara mangsa turut meluahkan rasa sedih atas kehilangan anak saudaranya.
“Di saat semua meraikan Aidilfitri, kami hanya mampu meratapi jasadmu. Pergi dengan tenang wahai anak, habis sudah segala derita.
“Anak-anak kakak yang masih kecil, kami akan jaga sebaiknya menjadi anak yang soleh dan solehah, Mak Lang sayang kamu,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang wanita berusia 28 tahun maut dipercayai akibat dibelasah suaminya di sebuah rumah flat di sekitar Cheras, Ahad minggu lalu, sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, wanita itu telah dihantar ke Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan.
Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan abdomen akibat hentakan kuat menggunakan senjata tumpul.
Katanya, suami mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai mekanik kereta ditahan dan motif pembunuhan disebabkan suspek marah kerana mangsa telah memuat naik status di media sosial mengatakan suspek mempunyai hubungan sulit.
Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang hari ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, seorang jiran dikenali Atirah pula dilaporkan mendakwa, lelaki yang dipercayai bertindak memukul isterinya sehingga menemui ajal dikatakan seorang yang panas baran dan pernah bergaduh di hadapan kediamannya.
Katanya, kejadian yang menyebabkan aksi bertumbuk itu bagaimanapun tidak diketahui punca.
Difahamkan, pasangan itu telah lama tinggal di flat berkenaan dan mempunyai empat cahaya mata berusia lingkungan 7 hingga 12 tahun.














