PETALING JAYA – Setiap insan terutamanya golongan wanita yang berbadan gemuk pastinya mengidamkan badan yang langsing dan pinggang ramping sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan produk kopi pelangsing yang dijual secara dalam talian atau di kedai-kedai.
Bagaimanapun, sebahagian besar produk kopi pelangsing yang dijual itu didapati langsung tidak berkesan untuk mengurangkan berat badan.
Malah sebaliknya, pengguna tegar produk tersebut berisiko tinggi menghidap masalah jantung serta penyakit buah pinggang kronik yang boleh membawa maut.
Mendedahkan perkara itu, Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Amirul Amzar berkata, kebanyakan kopi pelangsing mempunyai bahan campuran berbahaya.
Antaranya seperti hormon tiroid synthetic, sibutramine, phenteramine, phenolphthalein dan fluoxetine.
Menurutnya, kesemua bahan tersebut adalah ubat terkawal, namun boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan sekiranya diberi tanpa preskripsi daripada doktor atau pakar yang bertauliah.
“Sebagai contoh, hormon tiroid synthetic ataupun sibutramin, kedua-duanya boleh meningkatkan degupan jantung yang boleh menyebabkan masalah jantung jika pengambilannya tidak dikawal.
“Saya pernah ada satu kes, pesakit datang dengan degupan jantung yang laju dan susah bernafas. Selepas diperiksa, hormon tiroidnya meningkat tinggi dan pesakit mengaku ada mengambil produk kopi kurus sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Amirul memberitahu, setakat ini, tiada lagi bukti saintifik bahawa mana-mana produk kopi kurus atau pelangsing boleh mengurangkan berat badan seseorang itu secara konsisten.
Katanya, ini kerana kopi hanya mengandungi kafein dan bahan tersebut sekadar meningkatkan proses pembuangan air daripada badan melalui proses diuresis.
Jelas beliau, ketika proses itu berlaku, berat badan mungkin akan mengalami penurunan yang sedikit kerana air dibuang.
“Bagaimanapun, kesan tersebut sebenarnya tidak berterusan, sebab itu kita lihat kebanyakan mereka yang mengambil produk kopi pelangsing ini akan mengalami penurunan berat badan ketika pengambilan produk tersebut sahaja.
“Setelah berhenti daripada mengambil kopi itu, berat badan mereka akan kembali meningkat kerana berat badan mereka hanya turun akibat kesan daripada kafein,” ujarnya.
Justeru itu, Dr. Amirul menyarankan kepada pengguna yang mengamalkan kopi pelangsing supaya berhenti daripada mengambil produk berkenaan untuk menurunkan berat badan.
“Jika ada produk kopi yang mengiklankan penurunan berat badan, saya sarankan supaya tidak membelinya kerana tidak terbukti berkesan secara saintifik.
“Malah kopi pelangsing mungkin mengandungi bahan terlarang untuk memberikan kesan penurunan berat badan. Namun, secara umumnya, kopi pelangsing adalah berbahaya kepada kesihatan anda,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE














