fbpx

3 peguam fail saman pemula terhadap kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai tiga peguam memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain berhubung siasatan dijalankan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Saman pemula itu adalah bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Ketiga-tiga peguam itu ialah Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa and Sreekant Pillai selaku plaintif menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Mohd. Nazlan adalah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Berdasarkan saman pemula itu, plaintif-plaintif memohon perisytiharan bahawa badan siasatan jenayah termasuk defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menjalankan siasatan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat melainkan mereka digantung mengikut Perkara 125(5)  atau dibuang menurut Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, plaintif turut memohon perisytiharan bahawa Pendakwa Raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.

Terdahulu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh firma guaman Tetuan Malik Imtiaz Sarwar hari ini, mereka memohon supaya mahkamah menentukan persoalan perlembagaan yang penting berhubung pengasingan kuasa dan kebebasan Badan Kehakiman.

Menurut plaintif, mereka berpandangan bahawa siasatan ke atas Hakim Mohd. Nazlan itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan Badan Kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Mereka menegaskan, ia adalah perkara sangat penting yang memberi kesan kepada semua orang di negara ini di mana Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap daripada rakyat akses kepada keadilan ditadbir oleh Badan Kehakiman bebas daripada sebarang campur tangan.

Menurut mereka, perlembagaan menjamin kesaksamaan undang-undang dan perlindungan undang-undang yang sama kepada setiap orang.

Sebelum ini, kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Mohd. Nazlan sebelum ini turut dilaporkan telah membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai status sejumlah wang dalam akaun hakim itu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI