fbpx
Gambar hiasan

Sindiket dadah punca lelaki dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Terlibat dalam sindiket dadah menjadi motif utama pembunuhan seorang lelaki yang ditemui mati ditembak dalam sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, Isnin lalu.

Perkara tersebut dikenal pasti hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur susulan penahanan tiga suspek termasuk dua lelaki yang diburu polis, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pada awalnya polis menerima laporan kejadian tembak mati seorang lelaki berusia 49 tahun di sebuah hotel pada pukul 7 malam, kelmarin.

Menurutnya, susulan kejadian itu polis menahan lelaki berusia 49 tahun yang juga suspek utama di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal, polis percaya ada dua lagi lelaki terbabit dalam kejadian itu dan polis memulakan operasi memburu suspek yang masih bebas.

“Polis akhirnya berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 47 dan 51 tahun di Puchong, Selangor, pada pukul 7 malam dan merampas dua pucuk pistol jenis Revolver (enam butir peluru) dan Semi Auto Baretta (lapan butir peluru) serta satu kelopak peluru,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Azmi berkata, turut dirampas adalah sebuah motosikal, dua topi keledar, dua helai baju, dua pasang kasut sukan dan satu topi serta tiga telefon bimbit dipercayai digunakan semasa kejadian.

Kata beliau, hasil semakan mendapati mangsa yang berasal dari Johor itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, culik dan bunuh manakala suspek utama mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

“kedua-dua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur itu dipercayai berada di hotel berkenaan bagi urusan dadah bersama mangsa dan suspek utama.

“Suspek utama sudah direman enam hari sehingga 9 Mei ini manakala dua lagi suspek yang ditahan semalam akan dihadapkan ke mahkamah untuk permohonan reman, hari ini,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN