AMPANG – Seorang pekerja bengkel warga Pakistan bertindak melarikan diri selepas kereta pelanggan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2), di sini, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 6 petang itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu dari arah Gombak menghala ke Ampang.
“Ketika motosikal yang ditunggang lelaki berusia 23 tahun sedang melalui lorong kanan, sebuah MPV dipandu lelaki warga Pakistan berusia 35 tahun yang berada di lorong tengah tiba-tiba mengubah laluan ke lorong kanan.
“Disebabkan itu, penunggang motosikal terbabit tidak sempat mengelak dan dilanggar di bahagian sisi kanan lalu tercampak di tepi kanan jalan. Namun, MPV berkenaan dilihat meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pemilik MPV terbabit sudah membuat laporan memaklumkan kenderaan tersebut telah dihantar ke bengkel kereta untuk dibaiki dan mengesyaki ia telah dipandu oleh pihak bengkel.
“Hasil soal siasat, lelaki berkenaan mengaku memandu MPV milik pelanggan dan didapati tidak mempunyai lesen.
“Penunggang motosikal juga sudah membuat laporan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, satu klip video yang tular memaparkan sebuah MPV Proton Exora melanggar lari sebuah motosikal di MRR2 pada 28 April lalu. – KOSMO! ONLINE














