fbpx

Kesal ditipu kekasih menyamar kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKIBAT kemaruk mahu mempunyai teman lelaki kaya raya, Kay (bukan nama sebenar) akhirnya terduduk apabila kekasih hati yang dibanggakan sangat itu ternyata merupakan seorang ‘scammer’ yang menyebabkan Kay kini berhutang keliling pinggang.

Bercerita tentang perkenalannya dengan bekas teman lelaki, Kay berkata dia mengenali Azrul (bukan nama sebenar) ketika baru memasuki alam pekerjaan.

“Ketika itu, saya baru mula bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

“Kos hidup di ibu kota yang tinggi dengan gaji yang biasa-biasa sahaja membuatkan saya mula terfikir mahu segera mencari buah hati yang kaya kerana mahu hidup mewah.

“Saya mula menyertai aplikasi mencari jodoh dan daripada situlah saya mengenali Azrul,” ujarnya.

Jelas Kay, Azrul kerap mempamerkan kemewahan hidupnya menerusi media sosial kepada Kay, menyebabkan wanita itu mula tertarik kepada lelaki tinggi lampai itu.

Ternyata, Azrul juga terpikat dengan Kay kerana selain cantik, Kay juga merupakan seorang wanita yang manja dan pandai berdikari.

Kay semakin terpikat dengan Azrul yang kemudiannya sering ‘menabur’ wang ringgit dan memewahkan Kay dengan pelbagai barangan berjenama.

Tas tangan, minyak wangi, kasut berjenama semua pernah dihadiahkan kepada Kay oleh Azrul yang bersungguh-sungguh mahu memikat wanita itu.

“Azrul gemar membuat kejutan buat saya seperti menghantar barangan mewah ke pejabat dan tiba-tiba menempah slot memanjakan diri di spa-spa atau salun untuk memikat saya.

“Taktiknya berjaya apabila saya mulai ‘cair’ dan mengimpikan untuk hidup mewah bersamanya,” kata Kay berterus terang.

Azrul hidup dalam penuh kemewahan hasil dari wang yang dipinjam dari Kay. – Gambar hiasan

Namun, selepas sudah kemaruk bercinta selama beberapa bulan, Azrul yang dikenali Kay mulai berubah sikap apabila kerap meminjam wang wanita itu atas alasan ‘bayaran projeknya belum masuk’.

“Azrul mendakwa dia merupakan pengurus projek di sebuah syarikat pembinaan di Selangor dan sedang mengendalikan beberapa projek.

“Namun, bayaran daripada projek-projek tersebut masih belum diterima, menyebabkan dia terpaksa meminjam wang saya,” kata Kay.

Memandangkan Kay pun baru mula bekerja, dia tidak mempunyai begitu banyak wang simpanan dan memberikan kesemuanya kepada teman lelakinya itu kerana percaya bahawa Azrul benar-benar dalam kesusahan.

Tidak lama kemudian, Kay mendapat tahu bahawa kediaman mewah yang dihuni Azrul juga adalah kediaman rakannya dan Azrul kerap memuat naik gambar di situ bagi mengaburi mata wanita.

“Azrul sebenarnya tinggal di sebuah pangsapuri biasa sahaja dan bukan seorang pengurus projek seperti yang didakwanya. Dia sebaliknya bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta dan kerap menggunakan modus operandi sama untuk memikat wanita sebagai mangsanya,” jelas Kay.

Biarpun marah dengan penipuan Azrul, Kay bagaimanapun cukup menyayangi lelaki itu kerana Azrul kerap berjanji untuk berkahwin dengannya.

“Saya rasa terhutang budi dengan Azrul kerana sebelum ini dia kerap memanjakan saya dengan kemewahan dan saya terus-terusan membiarkan diri saya dipergunakan Azrul.

“Malah, kami juga sudah beberapa kali terlanjur, menyebabkan saya sukar untuk meninggalkan Azrul,” katanya.

Kay juga sanggup mengambil pinjaman peribadi untuk menyara kehidupan Azrul yang serba mewah bagi memastikan lelaki itu tetap setia bersamanya. Kay juga termakan dengan janji-janji manis Azrul yang bersumpah akan membayar semula semua wang yang dipinjamnya daripada Kay.

Semakin lama, semakin banyak wang yang dipinjam Azrul namun dia tidak pernah pun membayarnya semula. Malah, Kay juga pernah meminjam wang daripada abangnya hanya kerana enggan melihat Azrul hidup susah.

“Azrul sanggup menyuruh saya menebalkan muka dan meminta wang daripada abang saya yang bekerja di Amerika Syarikat memandangkan abang merupakan seorang yang agak berada.

“Malunya saya Tuhan sahaja yang tahu. Saya terpaksa memberikan pelbagai alasan agar abang tidak sangsi, hanya kerana mahu menyelamatkan kekasih hati sendiri,” ujar Kay berterus terang.

Hubungan Kay dan Azrul kemudiannya berantakan apabila Kay mendapat tahu bahawa Azrul curang terhadapnya. Mereka kemudiannya bertengkar besar dan Azrul bertindak melarikan diri daripada Kay.

“Sudahlah dia tidak pernah membayar hutang-hutang saya, dia malah bertindak menyekat nombor saya dan meninggalkan saya begitu sahaja. Kini, saya terpaksa menanggung beban hutang yang banyak sehingga menyebabkan saya mengalami tekanan teruk,” ujar Kay.

Namun, wanita itu menyalahkan dirinya sendiri kerana terlalu mudah percaya dan jatuh hati dengan lelaki yang menunjukkan kemewahan hanya kerana mahu hidup senang.

“Saya seharusnya sedar bahawa individu yang terlalu menunjuk-nunjuk kemewahan dirinya itu adalah satu petanda buruk dan saya seharusnya menjauhi mereka,” ujar Kay menutup bicara.

 

POPULAR