fbpx

Kain rentang sambut kepulangan anak perantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Hassan memasang kain rentang menyambut kepulangan perantau dan papan tanda agihan makanan di Jalan Pachakan-Besut, Pasir Puteh baru-baru ini. - FOTO TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Pelbagai cara dilakukan bagi memeriahkan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing termasuk menyediakan kain rentang dan bungkusan makanan kepada pengguna jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, beliau bersama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak menyediakan 300 bungkusan makanan setiap hari untuk diagihkan kepada perantau di Jalan Pachakan-Besut bermula Jumaat lalu.

Menurutnya, pihaknya juga membuat kain rentang di sempadan Kelantan-Terengganu bagi menyambut kepulangan perantau selain memaklumkan ada makanan percuma untuk diagihkan kepada mereka.

“Ini merupakan usaha kami untuk menyambut ketibaan perantau kerana DUN ini terletak bersempadan dengan Terengganu. Jadi, ia menjadi laluan utama perantau untuk masuk ke Kelantan.

“Kain rentang menyambut mereka dipasang berhampiran sebuah stesen minyak yang menjadi lokasi pengguna jalan raya berhenti rehat. Kita dirikan khemah khas di situ untuk mengagihkan juadah berbuka seperti nasi kerabu, nasi ayam dan nasi kukus kepada mereka,” katanya.

Menurut Wan Hassan, sumbangan itu merupakan satu penghargaan daripada DUN Semerak kepada perantau selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima semasa mengagih juadah berbuka, kebanyakan perantau yang masuk melalui Jalan Pachakan- Besut akan pulang ke segenap daerah di negeri ini.

“Meskipun sumbangan makanan ini dianggap biasa pada kebanyakan individu namun, saya melihat ia dalam konteks yang lebih besar apabila kita dapat menghargai kepulangan perantau ke Kelantan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI