fbpx
or Amanina (kiri) dan adiknya, Nur Amira menunjukkan gambar arwah bapa dan ibu mereka yang disimpan bagi mengubat kerinduan.

‘Kalau rindu kami peluk gambar, kain batik mak kuat-kuat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Tidak terungkap kesedihan dua beradik apabila terpaksa menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tanpa kehadiran insan bergelar ibu dan bapa selepas kedua-duanya dijemput Ilahi pada tahun lalu.

Nur Amira Natasya Romli, 14, dan Nor Amanina Hazwani, 16, menjadi yatim piatu selepas ibu mereka, Nor Mala Md. Desa, 46, meninggal dunia pada 13 Ogos tahun lalu disusuli bapa, Romli Saad, 58, pada 2 Oktober tahun lalu.

Nor Mala meninggal dunia akibat barah otak, manakala Romli maut kerana dijangkiti Covid-19.

Menurut Nor Amanina, bukan mudah untuk dirinya dan adik menerima kenyataan kedua-dua insan yang mereka sayangi itu telah pergi selama-lamanya.

“Sayu dan sunyi apabila kali ini terpaksa menyambut Ramadan dan raya tanpa mak dan ayah. Bila rindu kami akan tatap gambar mereka berdua serta memeluk kain batik arwah mak,” ujarnya.

Dua beradik terbabit yang sebelum ini tinggal di rumah sewa di Kampung Ruat, Yan dekat sini kini ditempatkan di rumah anak yatim Jariah Qaseh, Perdana Heights di sini berikutan tidak lagi mampu membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan selepas kematian bapa.

Mengimbau semula kenangan menjelang Aidilfitri, Nor Amanina berkata, bapanya pasti akan membawa mereka ke bazar Aidilfitri untuk membeli baju raya.

“Walaupun perbelanjaan untuk menyambut hari raya kami tidak semewah orang lain, namun kami sangat bersyukur ke­rana mak dan ayah tidak pernah gagal menyediakan kelengkapan raya untuk kami setiap tahun,” ujarnya.

Menurutnya, ibunya adalah orang yang paling sibuk setiap kali menjelang hari raya kerana kebiasaannya arwah mengambil upah membalut ketupat palas.

“Setiap kali dapat tempahan, saya akan bantu membalut ketupat dan mak akan ajar cara balutan yang kemas sehingga saya mahir membalut ketupat palas sejak usia 13 tahun,” luahnya.

Sementara itu, adiknya, Nur Amira Natasya berkata, dia amat merindui masakan ibu terutama ketupat dan rendang daging.

“Selain itu, bihun sup daging juga merupakan menu yang se­ring dimasak mak sebagai juadah pada pagi hari raya.

“Saya sangat rindukan mereka berdua, rindu nak dengar suara mak mengejutkan kami di pagi raya dan sebaik sahaja bangun dari tidur saya sudah boleh bau aroma kuah rendang dan sup daging yang mak masak untuk juadah hari raya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN