fbpx
Mukhlis kesal dengan sikap isterinya yang gemar beraya bersama rakan-rakan sehingga mengabaikan tanggungjawab di rumah. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Cerai isteri sakan pergi beraya sampai abai rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“MUNGKIN jarang kita dengar pasangan bercerai disebabkan isteri keluar beraya.

“Tetapi saya dan bekas isteri merupakan salah satu pasangan yang mengakhiri perkahwinan disebabkan hal tersebut.”

Demikian pengakuan Mukhlis (bukan nama sebenar) sewaktu berkongsi kisah dengan K-Wanita mengenai bahtera pernikahannya yang musnah tahun lalu.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, pegawai pemasaran di sebuah syarikat automotif terkenal di ibu negara itu menerima segala takdir yang ditentukan buatnya.

“Saya bernikah dengan isteri sebelum pandemik Covid-19 muncul di negara kita. Kalau dihitung, hampir tujuh tahun juga kami bersama.

“Meskipun mengenali antara satu sama lain menerusi orang tua dan tidak pernah bercinta, namun kami melayari hidup sebagai suami isteri dengan baik sehingga dikurniakan sepasang cahaya mata,” katanya.

Meneruskan kisah, anak jati Gelang Patah, Johor berusia 40 tahun itu memberitahu, sejak bernikah, isterinya memang tidak pernah bekerja.

Katanya, isterinya menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menjaga kebajikan keluarga kecil mereka.

Sebelum disatukan, bekas isterinya pernah bekerja selama beberapa tahun dalam bidang jualan dan pengiklanan di sebuah syarikat swasta.

“Diringkaskan cerita, setiap kali tibanya Syawal, isteri saya paling ‘sibuk’ dan suka mengunjungi rumah sanak saudara serta sahabat handai.

“Bukan seminggu dua beraya, tetapi dia boleh beraya lebih sebulan, meskipun Syawal sudah melabuhkan tirainya,” ujarnya.

Bagi Mukhlis, dia tidak kisah dengan sikap isterinya yang suka pergi beraya itu.

Namun, Mukhlis tidak suka apabila isterinya langsung tidak ambil kisah mengenai tanggungjawab di rumah.

Jelasnya, isterinya kalau sudah beraya bersama kawan-kawan, dia terus lupa hal dan keperluan di rumah.

“Pada awalnya, dia akan beraya dengan saya dan anak-anak. Biasanya, kami akan ziarah rumah saudara-mara dan adik-beradik terdekat.

“Masuk minggu kedua, dia akan beraya sendiri tanpa saya dan anak-anak.

“Sebelum ini, kalau mahu keluar beraya dengan kawan-kawan, dia mesti akan minta izin.

“Namun pada tahun itu, dia langsung tidak minta izin dengan saya. Pada hari minggu, dia bangun mandi seawal pagi, berdandan dan terus keluar tanpa cakap apa-apa dengan saya,” katanya.

Akui Mukhlis, dia tidak kisah kalau isterinya mahu beraya dengan rakan-rakannya, namun sekurang-kurangnya beritahu terlebih dulu.

“Ketika saya telefon atau WhatsApp, dia memang susah hendak angkat dan balas. Kalau dia balas pun, sepatah dua saja.

“Selalunya, dia balas tengah beraya dan jangan ganggu. Malam baru dia akan balik ke rumah,” katanya.

Perkara yang membuatkan Mukhlis naik angin, pernah suatu hari, isterinya langsung tidak pulang ke rumah semalaman.

“Jadi, saya yang kena urus anak-anak ke sekolah pada pagi itu. Apabila saya tegur, dia marah. Isteri cakap saya halang dan kacau dia sedang beraya.

“Sampai habis Syawal pun dia tetap beraya dengan kawan-kawannya.

“Masalah ini bukan setahun dua saya simpan, namun sejak kami bernikah dia sudah buat perangai demikian.

“Kegilaannya beraya bersama rakan-rakan semakin menjadi-jadi selepas anak sudah besar dan bersekolah,” tuturnya.

Mukhlis ada memberi nasihat dan cuba berbincang, sebaliknya dia yang dicemuh serta dihambur kata-kata kesat dengan nada tinggi oleh isterinya.

Disebabkan itu, Mukhlis nekad menceraikan isterinya dengan talak satu pada hujung Syawal tahun lalu.

Bagi Mukhlis, semuanya sudah berakhir, dan dia berharap isterinya dapat mengubah sikapnya selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN