PETALING JAYA – Beberapa laluan utama di sekitar Lembah Klang dilaporkan sesak susulan orang ramai mengambil kesempatan keluar beraya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menerusi tinjauan melalui kamera trafik secara langsung Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kesesakan didapati berlaku di susulan pertambahan kenderaan sejak awal petang tadi
Antara laluan yang terlibat ialah Lebuh Raya Damansara–Puchong (LDP) menghala ke Petaling Jaya dan Puchong, selain Lebuh Raya SPRINT yang menghubungkan kawasan Damansara, Mont Kiara dan Kuala Lumpur.
Selain itu, aliran kenderaan juga didapati bergerak perlahan di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) khususnya di laluan Subang, Damansara dan Shah Alam.
Jumlah kenderaan di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) dan Lebuh Raya Maju (MEX) turut menunjukkan peningkatan sehingga petang ini.
Dalam pada itu, kesesakan turut berlaku melibatkan Lebuh Raya Kajang–Seremban (Lekas) serta Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman mereka berdepan kesesakan jalan raya ketika keluar beraya.
“Minggu orang buat ‘open house’ (rumah terbuka). Tadi keluar rumah dah start jem,” kata Andi.
“Memang bulan Syawal macam inilah hujung minggu di Kuala Lumpur dan Selangor. Semua nak pergi rumah terbuka dan kenduri,” ujar Izan.
“Memang susah nak pergi beraya sekarang ini, kereta penuh atas jalan,” luah Zictia. – KOSMO! ONLINE














