fbpx

337 jersi Pulau Pinang tiruan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jersi pasukan bola sepak Pulau Pinang disyaki tiruan yang dirampas dari sebuah premis di Nibong Tebal, Seberang Perai hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 337 helai jersi pasukan bola sepak Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah kedai peralatan dan pakaian sukan di Taman Perindustrian Nibong Tebal di sini hari ini.

Operasi kira-kira pukul 11.30 pagi itu membabitkan pasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagangan selepas mendapat aduan daripada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya merampas jersi yang bernilai RM15,050 dipercayai menggunakan cap dagangan palsu bagi siasatan lanjut.

Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya turut menyerbu sebuah premis di Taman Industri Ringan Mak Mandin, Butterworth di sini yang menjalankan perniagaan kasut secara online dipercayai berjenama tiruan.

“Pemeriksaan itu telah menemui dan menyita 1,550 pasang kasut dan 400 pasang selipar dengan anggaran nilai RM42,750 bagi siasatan lanjut.

“Ia dipercayai menggunakan cap dagangan disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, kedua-dua kes itu akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“KPDNHEP ingin memberi amaran kepada mana-mana orang yang cuba menjual barangan tiruan bahawa akan dikenakan tindakan tegas.

“Kami mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam bagi membantu membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan,” katanya.

Sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada Bilik Gerakan KPDNHEP Pulau Pinang di talian 04-3840245, Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di talian 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, Portal e-aduan https://eaduan.kpdnhep.gov.my serta lain-lain platform. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI