fbpx

PSM tidak berdiam diri, mohon semakan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMELUT yang melanda PSM diharap tidak akan menjejaskan perkembangan sukan sepak takraw dalam negara.

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) dilihat tidak berdiam diri mengenai status mereka selaku badan induk sukan utama negara sekali gus mengheret masalah tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

PSM dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya telah menfailkan satu permohonan kebenaran untuk memohon semakan kehakiman pada 20 April 2022 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Tindakan itu dibuat susulan keputusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) yang mendaftarkan Penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai sebuah badan sukan Sepak Takraw peringkat kebangsaan di Malaysia.

“Permohonan tersebut yang dibuat secara ex-parte telah menamakan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) sebagai Responden Pertama dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia sebagai Responden Kedua.

“Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur telah menetapkan tarikh 7 Julai 2022 untuk pendengaran permohonan tersebut di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

“Pihak Jabatan Peguam Negara juga telah diserahkan dengan semua dokumen-dokumen permohonan pada 25 April 2022.

“PSM berharap semua pihak dapat memberikan ruang yang sewajarnya sehingga isu perundangan ini diselesaikan,” kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Haji Salleh menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapisiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Susulan kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.

Enam ahli gabungan yang menjadi tonggak penubuhannya MSC iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI