fbpx

Waspada tawaran kerja sambilan palsu -JSJK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima empat laporan polis yang dibuat mangsa yang terpedaya dengan tawaran kerja sambilan kononnya dianjurkan oleh sebuah syarikat membabitkan kerugian keseluruhan RM69,000.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah mengesan satu mesej tular yang dikongsikan melalui aplikasi WhatsApp berkenaan tawaran kerja secara sambilan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat Nexea.

“Melalui mesej tersebut mendakwa kononnya pihak syarikat menawarkan pekerjaan untuk memproses pesanan melalui platform aplikasi dengan upah lumayan sekitar RM300 ke RM500 sehari.

“Berdasarkan semakan, empat laporan polis telah dibuat berkait skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh pihak terbabit dan jumlah kerugian keseluruhan bagi kesemua laporan polis tersebut adalah membabitkan RM69,000,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, melalui siasatan didapati pelabur yang berminat diarahkan untuk memindahkan wang kepada pihak syarikat akaun yang diberi yang mana akaun tersebut dimiliki oleh individu persendirian yang dipercayai keldai akaun.

“Pada peringkat awal, pelabur akan menerima keuntungan yang dijanjikan, namun setelah membuat pindahan wang dalam jumlah yang agak besar, pihak syarikat akan memutuskan hubungan dengan pelabur tersebut.

“Justeru itu, orang ramai yang berminat dengan tawaran bekerja secara sambilan dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan penipuan tersebut.

“Sekiranya diminta untuk membuat pindahan wang (terutama kepada akaun bank milik individu persendirian), ianya adalah petanda bahawa anda mungkin menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center ditalian 03-26101559 atau 03-26101599. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI