GEORGE TOWN – Botol susu yang mengandungi bahan Bisphenol A (BPA) yang diharamkan di negara ini dikesan masih dijual terutamanya di pasar raya ekonomi yang sering dikunjungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Perkara itu dibuktikan melalui kajian terhadap tiga sampel yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama International Pollutants Elimination Network (IPEN) baru-baru ini apabila kesemua sampel itu didapati mempunyai kandungan BPA.
Enam sampel lagi melibatkan botol minuman yang turut mengandungi BPA.
Kajian itu mendapati, kesemua sampel itu mengandungi BPA antara 0.3 bahagian per bilion (bpb) hingga 5.8 bpb. Harga jualan produk pula antara RM2 hingga RM16.
Kebanyakan produk berkenaan diimport dari China, manakala sebahagiannya tiada sebarang maklumat pengimport.
Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim berkata, kajian itu turut mendedahkan terdapat pengeluar membuat pengisytiharan palsu dengan meletakkan label ‘bebas BPA’ untuk memperdayakan pelanggan.
Justeru, pihaknya menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang pengharaman penjualan botol susu yang mengandungi BPA.
“Tujuan penguatkuasaan ini bagi membendung penipuan pengeluar atau peniaga terhadap penjualan botol susu yang mengandungi BPA kerana ia telah diharamkan di negara ini.
“Misalnya, pembekal perlu menyerahkan bersama sijil atau hasil ujian bebas BPA dan sebagainya sebelum ia dibenarkan dipasarkan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Hatijah berkata, memandangkan botol-botol susu dan air minuman mengandungi BPA masih berada di pasaran tanpa disedari pengguna, pihaknya menasihati agar mereka menggantikan penggunaannya kepada botol kaca atau aluminium.
“Bahan-bahan kimia di dalam botol tersebut (polikarbonat) akan merembeskan BPA jika kita memasukkan air panas secara berulang.
“Sebagai alternatif, gunalah botol susu daripada kaca, manakala botol minuman boleh ditukar kepada botol steel atau aluminium kerana lebih selamat dan tidak mengeluarkan bahan kimia berbahaya,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya telah menggalakkan pengguna mengelakkan daripada menggunakan botol susu polikarbonat sejak sekian lama kerana mengetahui kesan bahaya terhadap sistem endokrin atau hormon manusia.
“Sejak 1998 lagi, CAP memberi pendidikan kepada pengguna untuk hindari daripada menggunakan bahan plastik terutama dalam bentuk botol susu kanak-kanak kerana terdapat maklumat ia akan merembes bahan kimia pengganggu endokrin berbahaya (EDC) yang boleh menjejaskan hormon.
“Sepatutnya, gantikanlah susu formula kepada susu ibu bagi mengelak penggunaan botol susu, malah susu ibu jauh lebih bagus untuk kesihatan,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Hazlin, 33, berkata, penjualan botol susu pada harga murah pada asalnya mampu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan mereka tidak mengetahui ia terdedah kepada risiko pencemaran BPA.
“Saya tidak sangka ia berisiko mengandungi BPA biarpun terdapat label yang terdapat pada botol itu tertulis ‘bebas BPA’.
“Kebiasaannya botol susu berjenama harganya agak mahal mencecah RM20 atau RM40 seunit, namun ia pastinya bebas BPA.
“Bagi botol susu murah pula, tiada sebarang jaminan kerana ada yang langsung tiada label atau logo pengeluar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














