fbpx

‘Harga’ bahagia Izreen Azminda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZREEN AZMINDA dan Ude.

SAAT pelakon Izreen Azminda memilih jalan untuk bergelar isteri kepada pemuzik bebas, Muhammad Radzi Wahid atau Ude, dia sedar bahawa kehidupannya akan berubah secara total. Sampailah ke hari ini, Izreen tetap bersyukur dengan bahagia yang dikecapi hari-hari.

Ironinya juga, lima tahun berlalu, kontroversi perkahwinan keduanya itu tidak pernah padam. Ada sahaja perihal kehidupan pelakon Juvana itu tidak kena di mata khalayak.

Terbaharu, nama Izreen kembali memanas apabila bekas madunya, Intan Liana Saleh mengeluarkan kenyataan dalam Instagram, mengharamkan pelakon itu daripada memuat naik sebarang gambar anak-anaknya dalam media sosial.

Enggan isu tersebut menjadi lebih panjang, pada masa akan datang, Izreen menghormati keputusan ibu kepada dua anak tirinya itu.

“Saya menghormati permintaannya dan menganggap perkara tersebut telah selesai. Kalau boleh saya tidak mahu panjangkan isu ini kerana masing-masing sudah memiliki keluarga sendiri,” ujar Izreen.

Sehingga ke hari ini juga, Izreen seolah-olah terus dihukum apabila tidak henti dikecam dan dihamburkan kata nista yang sudah menjadi ‘makanan’ hariannya.

PERKAHWINAN Izreen dan Ude menuntut satu perjuangan dan pergorbanan yang panjang, namun kedua-dua mereka tidak pernah dan lelah untuk membina bahagia dengan harga paling mahal.

Malah, ‘harga’ paling mahal perlu dibayar Izreen demi sebuah bahagia adalah karier lakonannya yang merundum gara-gara kontroversi perkahwinan keduanya itu.

Disoal adakah dia pernah menyesal dengan jalan kehidupan yang dipilihnya, wanita berusia 37 tahun terdiam sejenak. Memikirkan jawapan yang paling tepat barangkali.

Sambil memandang ke satu sudut, Izreen berkata: “ Tidak menyesal, pada mulanya memang saya marah dan mempertikaikan apa yang berlaku. Perasaan bercampur-baur, namun bila saya bertenang dan reda barulah nampak hikmahnya.

“Allah hadirkan ujian dengan kemanisan di hujungnya. Saat saya dilanda kontroversi, Allah tunjukkan warna sebenar orang di sekeliling saya, ada kawan yang sanggup tikam belakang demi menyelamatkan diri.

“Allah juga hadirkan insan-insan yang jujur bersahabat tanpa kepentingan.

“Saya tidak pernah mengenali mereka sebelum kontroversi, tetapi merekalah yang membantu daripada segi emosi dan kewangan ketika saya benar-benar susah.

“Hikmah yang paling besar adalah saya mendekatkan diri dengan Allah. Jika sebelum ini sibuk bekerja, kadangkala culas-culas dalam solat, sekarang saya memiliki banyak masa untuk menebus kembali apa yang kurang sebelum ini.

“Jadi saya bersyukur dan bersangka baik dengan jalan yang Allah tulis buat saya.”

IZREEN kini tidak lagi aktif berlakon memandangkan anak-anak masih kecil. Jika sudah ada pembantu rumah suatu hari nanti, barulah dia bersedia menerima lebih banyak tawaran.

Tebus masa

Hikmah lain yang amat bermakna buat dirinya sebagai ibu adalah dapat membesarkan anak-anak depan mata sendiri.

Hasil perkahwinan dengan Ude, Izreen memiliki dua cahaya mata lelaki, Aaron Ibrahim, 3, dan Ali Idrees, enam bulan serta seorang lagi anak lelaki, Adrian Umar Muhammad Riza, 9, hasil perkahwinannya sebelum ini.

“Saya sangat kurang masa dan momen bersama Adrian sewaktu kecil, habis pantang terus bekerja tanpa henti.

“Berbeza dengan anak kedua, Aaron.Dia ibarat anak pertama kerana saya menguruskannya sendiri 100 peratus.

“Sekarang dapat melihat anak-anak membesar di depan mata, satu perasaan yang saya tidak boleh ungkap dengan kata-kata,” luah Izreen.

Sementara itu, Ude turut mengakui meskipun pada awal perkahwinan dia agak kekok dengan perhatian dan kecaman ramai, namun alah bisa tegal biasa.

“Saya tidak pernah menyesal berkahwin dengannya walaupun segala perhatian orang membuatkan kehidupan saya agak kacau bilau.

“Mulanya sebagai suami, saya marah dan naik angin apabila orang mengutuk isteri saya. Tetapi lama-lama saya lihat perkara tersebut tidak berkesudahan, jadi saya ambil pendekatan untuk tidak mengendahkannya.

“Mulut orang kita tidak boleh tutup. Paling penting kita tahu kedudukan kita, jadi lebih baik saya sabar dan diam sahaja,” ujar Ude.

BIARPUN pelbagai kontroversi melanda, Izreen tetap menganggap kedua-dua anak tirinya, Arish Muqri, 8, serta Ariq Muqri, 5, seperti anaknya sendiri.

Rezeki

Sungguhpun tidak lagi ligat berlakon seperti dahulu dan hanya sesekali muncul dalam televisyen, Izreen bersyukur didatangi rezeki dari jalan berbeza. Paling tidak disangkanya, menerusi rezeki reviu dalam Instagram.

“Saya bersyukur dapat menyelesaikan segala hutang bank. Biar pendapatan tidak semeriah dahulu, tetapi saya bebas hutang dan hati senang,” kongsinya.

Sebagai anak seni, bohonglah jika tidak terbit kerinduan untuk kembali berlakon seperti dahulu. Sesekali, jika terlalu rindu, Izreen mengakui akan membelek-belek skrip lamanya.

“Saya bukan tidak mahu berlakon, saya masih berlakon tetapi tidak boleh bekerja seperti dahulu kerana anak-anak masih kecil.

“Allhamdulillah tawaran sentiasa ada, cuma saya hanya boleh ambil tawaran yang tidak memakan masa lama. Lokasi penggambaran di Kuala Lumpur serta Selangor sahaja.

“Bukan menolak rezeki, tetapi saya tiada pembantu rumah. Melainkan pada masa depan jika saya bertemu dengan penjaga anak yang sesuai dan saya rasa selamat untuk meninggalkan anak dengannya, barulah saya akan kembali aktif,” ujar Izreen.

Pertama kali menggabungkan keluarga itu bersama anak-anak daripada perkahwinan terdahulu, baik Ude mahupun Izreen, masing-masing berfikiran terbuka.

Menyentuh sambutan raya, aktres kelahiran Kangar, Perlis itu akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan telah pulang ke kampung pada Januari lalu.

“Saya tidak mahu tersekat dalam kesesakan trafik dengan anak kecil ditambah bimbang dengan virus Covid-19. Walaupun semua orang mahu beraya sakan, saya pilih sederhana.

“Sudah dua tahun beraya di sini, jadi saya sudah biasa,” katanya yang telah membuat persiapan raya lebih awal.

Sebelum mengakhiri bicara, Izreen memohon kemaafan andai kelakuan dan kata-katanya ada menyinggung perasaan mana-mana pihak sebelum ini.

“Sebagai manusia saya pun ada khilafnya, kadangkala kesabaran saya ada batas. Jadi, saya ingin meminta maaf kepada semua.

“Saya berharap masyarakat di luar sana berhentilah menghukum. Saya sudah mempunyai kehidupan sendiri.

“Saya juga memaafkan semua orang yang mengecam dan melempar kata-kata kurang baik terhadap saya.

“Moga kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini,” tutup Izreen.

Foto: MUHAMAD IQBAL ROSLI    Tajaan busana: POKOKS.KIDS   Instagram: @pokoks.kid
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI