PETALING JAYA – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dianggap sesuatu yang sangat istimewa selepas dua tahun umat Islam di negara ini tidak dapat meraikannya dengan suasana sebenar ekoran penularan pandemik Covid-19.
Lebih menggembirakan apabila tiada lagi sekatan perjalanan untuk pulang ke kampung, sekali gus menyaksikan orang ramai mula membuat persiapan masing-masing menjelang 1 Syawal yang dijadual pada 3 Mei depan.
Bagi sesetengah umat Islam, pelbagai kelonggaran yang diberikan kerajaan ketika ini merupakan peluang terbaik untuk ‘membalas dendam’ dengan menyediakan pakaian raya yang berwarna warni.

Berkongsi keterujaan itu, seorang peniaga produk kecantikan dan kesihatan dari Klang, Selangor, Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman, 30, mengakui, Aidilfitri kali ini perlu disambut meriah memandangkan rakyat sudah terkurung selama dua tahun ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kali ini, saya memang mahu balas dendam sebab sudah dua tahun tidak melaram ketika Aidilfitri. Ketika PKP, perayaan itu hanya diraikan ala kadar selain baju yang dijahit hanya dipakai di dalam rumah sahaja.
“Bagaimanapun, bagi membalas dendam sempena Aidilfitri kali ini, saya menyediakan sebanyak 30 pasang baju raya untuk digayakan bersama isteri dan seorang cahaya mata kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Bercerita mengenai kos baju raya berkenaan, Syed Muhammad Shah Hasif memberitahu, dia memperuntukkan kira-kira RM20,000 bagi membeli pelbagai jenis kain dan hiasan lain seperti manik dan batu kristal.
“Setiap kali raya, saya memang akan menjahit sendiri baju buat kami sekeluarga. Di situ, kos upah jahit dapat dijimatkan dan bajet kami hanya tertumpu kepada pembelian material seperti kain dan batu-batu hiasan sahaja.
“Pada 2019, kami menyediakan sekitar 14 pasang baju dengan anggaran kos RM15,000 sahaja, tetapi untuk Aidilfitri kali ini, jumlahnya dilebihkan kerana sudah dua tahun kita tidak beraya seperti biasa,” jelasnya.

Berpandangan sama, pemilik restoran, Syarifah Nur Syafiqah Othman, 35, memberitahu, dia juga mahu membalas dendam selepas Aidilfitri hanya diraikan secara ala kadar sejak dua tahun lalu.
“Dua tahun lalu, kita menyambut Aidilfitri bersama keluarga di dalam rumah sahaja, tidak sempat melaram dengan pakaian raya memandangkan larangan merentas negeri.
“Tahun ini, saya mahu memakai kesemua lapan pasang baju yang dijahit untuk kepuasan diri sendiri. Tahun lalu, saya hanya sempat memakai tiga pasang sahaja daripada tujuh pasang yang dijahit,” jelasnya.
Bagi Fatin Syazwani Ishak, 24, pula, keinginan seseorang untuk melaram pada Aidilfitri tahun ini merupakan hak peribadi dan mengikut kemampuan setiap orang.
“Paling penting, setiap apa yang dibelanjakan perlu mengikut bajet masing-masing agar tidak membazir. Jika seseorang itu berkemampuan, tidak salah untuk dia melaram kali ini.
“Selain itu, kita juga perlu sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun semua sudah tidak sabar untuk membalas dendam Aidilfitri kali ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE















