fbpx

Rehatkan Hakim Mohd. Nazlan – PSUAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Muhammad Imran (dua kiri) menunjukkan laporan yang dibuat ke atas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali di perkarangan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini, hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menggesa kerajaan merehatkan sementara Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bagi memberi laluan kepada siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, pihaknya juga mendesak agar SPRM mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu melibatkan Mohd. Nazlan seperti yang ditularkan di sebuah portal baru-baru ini.

“Sebelum ini kami (PSUAM) telah membuat laporan ke atas Mohd. Nazlan berhubung penglibatannya dalam kes kontroversi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenaikan pangkat beliau yang didakwa sebagai meragukan.

“Kali ini laporan dibuat berhubung dakwaan kemasukan dana berjumlah RM1 juta ke dalam akaun peribadi milik Mohd. Nazlan seperti yang ditularkan oleh blogger Raja Petra Kamarudin pada 20 April lalu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut Syed Muhammad Imran, pihaknya yang tiba di Ibu Pejabat SPRM kira- kira pukul 11 pagi tadi turut menyerahkan nombor akaun bank yang didakwa milik Mohd. Nazlan seperti yang ditularkan di platform media sosial baru-baru ini.

“Pihak SPRM perlu mengeluarkan satu kenyataan media berhubung siasatan ke atas Mohd. Nazlan agar tidak mengelirukan rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini.

“Kami bukan menuduh beliau (Mohd. Nazlan) bersalah, tapi hanya pohon pihak SPRM segera menyiasat penglibatan beliau di dalam SRC International dan 1MDB,” ujar beliau.

Jelas beliau, sekiranya terdapat penglibatan secara langsung Mohd. Nazlan dalam SRC International dan 1MDB, kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berpatah balik ke Mahkamah Tinggi dan seluruh hukuman dibatalkan malah beliau harus dibicara semula.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Muhammad Imran turut memaklumkan telah buat satu laporan ke atas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz susulan nama menteri itu telah disebut dalam perbicaraan 1MDB di mahkamah New York, Amerika Syarikat (AS) Mac lalu.

“Nama Tengku Zafrul telah disebut dalam testimoni Leissner pada perbicaraan seorang lagi bekas pengurus bankGoldman Sach, Roger Ng berkaitan 1MDB yang sedang berjalan di AS.

“Pada 2012 lalu juga Maybank telah meluluskan pinjaman wang kepada 1MDB yang ketika itu Tengku Zafrul merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Investment, kemudian pada tahun sama terdapat laporan mengatakan beliau adalah salah seorang daripada 11 individu yang terbang ke Las Vegas, AS untuk meraikan hari lahir Jho Low.

“Nama beliau (Tengku Zafrul) juga terdapat dalam dokumen-dokumen yang menyerupai minit mesyuarat Lembaga Pengarah Maybank melibatkan sejumlah wang seperti yang didedahkan oleh sebuah portal tempatan,” katanya.

Tegas Syed Muhammad Imran, SPRM perlu menyiasat segera semua laporan yang dibuat mereka itu dan memaklumkan perkembangan siasatan yang dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI