fbpx

LZS sebarkan dakwah kepada pemandu e-hailing bayar zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sabirin (berdiri kiri) menyampaikan duit raya kepada salah seorang anak yatim pada majlis Iftar Cahaya Aidilfitri, malam tadi. - FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mendekati syarikat e-hailing di negara ini dalam menyebarkan dakwah kepada ‘rider’ atau pemandu mereka bagi membayar zakat pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, ini selepas kejayaan kerjasama pihaknya dengan Grab Malaysia yang telah menunaikan zakat pendapatan di kalangan pemandu Grab di Selangor berjumlah RM531,877.78 pada tahun lalu.

“Jadi, jika dilihat pada jumlah tersebut boleh dikatakan agak lumayan pemandu-pemandu grab ini.

“Kita lihat inisiatif seperti ini boleh dikatakan telah berjaya dan akan terus memanjangkan dakwah terutama daripada kategori pemandu-pemandu seperti Food Panda dan juga kepada semua pengeluar zakat berpotensi,” katanya pada majlis Iftar Cahaya Aidilfitri 2022 di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan duit raya hasil sumbangan Grab Malaysia kepada kira-kira 100 anak yatim daripada Rohama Darul Fakir, Pertubuhan Kebajikan Ehsan As-Shakur dan Maahad Tahfiz Klang.

Turut hadir, Pengarah Operasi Mobility Grabcar Sdn Bhd, Rashid Shukor dan Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Razali Abdullah.

Jelas Mohd. Sabirin, Grab Malaysia juga menyumbang dana wakalah berjumlah RM66,484.72 bagi Program Kasihku Zakat Selangor bagi menyantuni mereka yang memerlukan di negeri ini.

Pada tahun ini, sasaran sumbangan menerusi program itu adalah sebanyak RM1.6juta iaitu kenaikan lima peratus daripada tahun lalu.

“Program untuk bersama komuniti tidak terhad kepada anak yatim sahaja sebaliknya juga dilakukan bersama masyarakat-masyarakat asnaf, fakir miskin dan mualaf sehingga penghujung Ramadan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, kutipan zakat sehingga April ini mencecah RM256.9 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu sebanyak RM188 juta.

“Manakala, sehingga 17 Ramadan (kelmarin) didapati kutipan zakat fitrah secara online adalah RM2.8 juta daripada keseluruhan sasaran RM35 juta.

“Kita dapat lihat komitmen orang ramai untuk menunaikan zakat ini meningkat walaupun pelbagai cabaran seperti pandemik dan sebagainya, masih lagi ada yang berkemampuan untuk menunaikan zakat,” katanya. -KOSMO!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI