fbpx

Sila terima keputusan hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

RABU lalu, media melaporkan seorang wanita Sam Ke Ting, yang sebelum ini dilepas dan dibebas daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 terhadap wanita berusia 27 tahun itu yang mana jika gagal bayar akan ditambah hukuman penjara enam bulan.

Selain itu, tertuduh juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.

Hukuman dibuat selepas hakim mendapati Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhi­laf ketika membuat keputusan.

Sejurus selepas kes itu dilaporkan, bermulalah perang pengguna laman sosial apabila ada dalam kalangan mereka tidak berpuas hati, malah ada yang menyelar dengan tindakan hakim mahkamah yang menjatuhkan hukuman tersebut.

Kata mereka, sepatutnya bukan tertuduh yang dikenakan hukuman sebaliknya ibu bapa kanak-kanak itu patut diambil tindakan.

Bagi peguam Muhammad Amin Abdullah, beliau berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan kes daripada Mahkamah Rendah.

“Hanya persoalan undang-undang sahaja yang akan dibawa oleh pihak-pihak dan kebiasaannya Mahkamah Tinggi tidak mencampuri dapatan fakta oleh hakim perbicaraan melainkan dapatan itu adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima.

“Setelah meneliti dan mende­ngar hujahan daripada perayu dan responden, Mahkamah Tinggi boleh membalikkan keputusan mahkamah rendah seperti menjatuhkan hukuman kepada responden yang telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah rendah dan sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, peguam itu berkata, masyarakat yang dilihat terkejut dan tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi perlulah berlapang dada dan menerima ke­pu­tusan itu seadanya kerana ra­yuan tersebut telah mengikut proses undang-undang sedia ada.

Namun demikian, kata beliau, Hakim Mahkamah Tinggi juga tidak terkecuali dalam membuat kesilapan dan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi masih mempunyai satu peluang lagi untuk merayu ke Mahkamah Ra­yuan di Putrajaya.

“Masyarakat dinasihatkan untuk tidak menyebarkan stigma negatif terhadap institusi kehakiman dan memberikan keperca­yaan kepada barisan peguam yang bijaksana untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Ra­yuan kelak,” kata peguam itu.

Mengikut pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi.

Satu contoh, pada Julai tahun lalu, Mah­kamah Rayuan membuat keputusan melepas dan membebas­kan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan menerima ra­suah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman, dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Tengku Adnan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Hakim Suraya yang membacakan penghakiman itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi ter­khilaf apabila gagal untuk me­nimbangkan keterangan oleh saksi pendakwaan antaranya Pengarah Aset Kayamas Sdn. Bhd., Tan Sri Chai Kin Kong dan Ketua Pegawai Operasi, Tadmansori Holdings Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Hasbi Jaafar.

Dengan segala contoh kes yang dikemukakan di atas, harapan penulis agar masyarakat faham dan menghormati segala keputusan yang dijatuhkan kerana setiap hakim merupakan peng­amal undang-undang yang bijaksana tanpa sebarang prejudis. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI