fbpx

Jangkitan Covid-19 di seluruh dunia lepasi angka 500 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang petugas kesihatan berjalan melepasi katil pesakit di pusat kuarantin lapangan yang disediakan di Shanghai. - AFP

WASHINGTON –  Bilangan kes Covid-19 di peringkat global kini melepasi angka 500 juta dengan sub varian Omicron BA.2 menjadi pencetus jangkitan di Benua Eropah dan Asia, lapor laman berita Wionews.

BA.2 juga menjadi penyebab lonjakan kes koronavirus di China baru-baru ini serta punca rekod baharu  jangkitan di Eropah.

Sub varian Omicron ini digelar varian ‘halimunan’  kerana lebih sukar dikesan berbanding varian Covid-19 yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Korea Selatan mendahului catatan kes harian di seluruh dunia apabila merekodkan lebih 182,000 jangkitan baharu.

Negara itu juga menyumbang satu daripada setiap empat jangkitan di seluruh dunia pada masa ini.

Dalam pada itu, Kes baharu juga dikesan meningkat di 20 daripada lebih 240 negara dan wilayah termasuk Taiwan, Thailand dan Bhutan.

Bandar terbesar di China, Shanghai pula masih bergelut untuk memerangi penularan Covid-19 yang paling buruk di republik itu sejak virus  Covid-19 pertama kali muncul di Wuhan pada akhir 2019.

Hampir 25,000 kes tempatan baharu dilaporkan ketika dasar kuarantin ketat di Shanghai dikritik kerana mengasingkan kanak-kanak daripada ibu bapa dan meletakkan pesakit tidak bergejala  bersama mereka yang mempunyai gejala.

“Pencegahan dan kawalan wabak Shanghai berada pada tahap paling sukar dan paling kritikal,” kata seorang pegawai dengan suruhanjaya kesihatan perbandaran, Wu Qianyu.

Beberapa negara Eropah kini melaporkan peningkatan lebih perlahan melibatkan kes baharu tetapi rantau itu masih melaporkan lebih sejuta kes selang dua hari.

Secara keseluruhan, kes Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) telah menurun dengan mendadak selepas mencapai kemuncak pada Januari lalu.

Namun begitu, kebangkitan semula kes di bahagian Asia dan Eropah menimbulkan kebimbangan bahawa gelombang lain mungkin menyusul di AS.

Agensi kesihatan awam kebangsaan AS berkata,  BA.2 Omicron dianggarkan merangkumi hampir tiga daripada setiap empat varian coronavirus di negara itu.

Varian BA.2 kini membentuk kira-kira 86 peratus daripada semua kes di seluruh dunia, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI