fbpx
MOHAMAD Afif (kiri) dan Ramli (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada pengawal keselamatan sekolah yang terjejas selepas mereka tidak menerima gaji selama tiga bulan dari majikan mereka, dalam majlis di Port Dickson, semalam. MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Pengawal keselamatan sekolah tidak terima gaji 3 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Ketika ramai sudah mula melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, namun berbeza bagi 39 orang pengawal keselamatan sekolah di daerah ini yang kini berdepan kesulitan.

Ia apabila kesemua mereka masih belum menerima gaji masing-masing selama tiga bulan bermula Januari lalu dari syarikat tempat mereka bekerja.

Malah mereka juga mendakwa, pihak majikan turut culas membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pengawal-pengawal keselamatan terlibat.

Wakil kumpulan pengawal keselamatan berkenaan, Ramli Bakar, 50, berkata, kesemua mereka terjejas merupakan pengawal keselamatan di sembilan buah sekolah termasuk sekolah menengah dan rendah serta sekolah berasrama di daerah ini.

“Kami kini semua menghadapi masalah kewangan, ada yang perlu menanggung ahli keluarga yang sakit, ada terpaksa melakukan pelbagai kerja lain tanpa mengabaikan tugas hakiki sebagai pengawal keselamatan walaupun tanpa menerima gaji.

“Waktu sekarang memang sukar bagi kami, lebih-lebih lagi sekarang bulan Ramadan dan tidak lama lagi mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mujur pihak sekolah membantu kami yang tidak mempunyai gaji ini dengan memberikan sumbangan hasil kutipan dana dari guru-guru,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Sumbangan Ramadan dan Serahan Kutipan Dana Kilat dari pihak Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan di sini semalam.

Sementara itu, menurut Ramli, pihaknya juga telah mengadukan isu berkenaan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada 31 Mac lepas.

“Tahun lepas juga kami berdepan masalah tunggakan gaji dan kali ini berlaku lagi. Pelbagai alasan dan janji diberikan namun kami masih belum menerima tunggakan gaji yang melibatkan kira-kira RM7,000 setiap seorang pengawal keselamatan terlibat.

“Kami juga telah menghubungi pihak majikan namun, masih tidak dapat menyelesaikan isu ini. Pada 7 Mac lalu, saya dan rakan lain turut pergi ke ibu pejabat majikan di Selayang, Selangor namun mereka masih gagal menjawab kesemua persoalan kami.

“Bagaimanapun, pihak majikan ada menghantar memo melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini yang memaklumkan bahawa akan membayar tunggakan gaji kami selewat-lewatnya 21 April ini dan sekiranya mereka gagal, kami akan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu wakil AMK Negeri Sembilan, Mohamad Afif Anuar berkata, pihaknya terpanggil membantu kumpulan pengawal keselamatan terbabit selepas melihat kesulitan yang dihadapi mereka.

“Selepas mengetahui isu ini, kami terus bertindak segera dengan melakukan kutipan sumbangan dalam kalangan ahli malah ia turut mendapat perhatian oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR