MEMPUNYAI bentuk sedikit berbeza dengan siput sedut yang banyak didapati di Semenanjung, namun keenakan rasa serta cara menyedut siput tuntul yang terkenal di daerah Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu tetap sama dan senang ditemui kerana tidak bermusim.
Tuntul digemari ramai disebabkan ia senang ditemui kerana tidak bermusim, namun biasanya hidupan laut itu muncul dengan banyak antara bulan Disember hingga Mac.
Ini berikutan angin kuat serta ombak besar yang menyebabkan siput berkenaan mudah ditemui terdampar di tepi pantai.
Kehadiran tuntul dengan jumlah yang banyak, memberi rezeki lumayan buat penduduk di lokasi yang sering menjadi tumpuan si pencari siput berkenaan terutama di pantai Kuala Binsulok, Pimping, Membakut selain Palu-Palu di Kuala Penyu.
——————————————————————————————————————————————————————————–
JIKA di Semenanjung terkenal dengan siput sedut atau siput belitung, namun berbeza dengan penduduk di sekitar daerah Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu di Sabah yang cukup menggemari siput tuntul.
Hidup di kawasan air payau dan boleh ditemui di sungai, laut serta paya bakau, tuntul boleh mencecah sehingga 12 sentimeter panjang, selain memiliki hujung cengkerang sangat tajam, di samping permukaan licin berwarna hitam pekat.
Memiliki bentuk yang sedikit berbeza dengan siput sedut, namun keenakan rasa serta cara menyedutnya tetap sama.
Bagaimanapun, bahagian depan cengkerang tuntul harus dipotong dengan parang hingga tinggal kurang separuh sebelum dimasak bagi memudahkan proses memakannya.
Walaupun tuntul bukan dikategorikan sebagai salah satu makanan laut yang mewah, tetapi ia tetap mempunyai penggemarnya tersendiri.
Tuntul digemari ramai disebabkan ia senang ditemui kerana tidak bermusim, namun biasanya hidupan laut itu muncul dengan banyak antara bulan Disember hingga Mac.
Ini berikutan angin kuat serta ombak besar yang menyebabkan siput berkenaan mudah ditemui terdampar di tepi pantai.

MAZZARY terlebih dahulu memotong cengkerang hadapan tuntul sebelum dijual kepada orang ramai yang ingin menikmati keenakan siput berkenaan.
Kehadiran tuntul dengan jumlah yang banyak, memberi rezeki lumayan buat penduduk di lokasi yang sering menjadi tumpuan si pencari siput berkenaan terutama di pantai Kuala Binsulok, Pimping, Membakut selain Palu-Palu di Kuala Penyu.
Seorang pencari dan peniaga tuntul, Dayang Rosni Sakunah, 50, berkata, sudah menjadi rutinnya keluar mencari tuntul di pantai Kuala Binsulok hampir setiap hari sebelum menjualnya di gerai berhampiran sebagai salah satu sumber pendapatan.
Dayang Rosni yang sudah lebih 10 tahun mencari dan berniaga tuntul menyatakan, dia akan keluar mengutip tuntul seawal pukul 4 atau 5 pagi bersama beberapa ahli keluarga.
“Memang kena turun awal pagi kerana air berada dalam keadaan surut ketika itu.
“Mencari tuntul lebih mudah sewaktu air laut surut berbanding air pasang.
“Kita tidak mengambil tuntul dalam kuantiti yang terlalu banyak. Mungkin anggaran tiga bakul raga yang besar.
“Kebiasaannya sekitar pukul 7 pagi, kita sudah naik ke pantai dan membersihkan tuntul sebelum memulakan perniagaan pada pukul 8 pagi,” katanya ketika ditemui K2 di gerainya di pantai itu baru-baru ini.

Ditanya mengenai kesukaran setiap kali turun ke laut untuk mengutip tuntul, Dayang Rosni memaklumkan, antara cabaran itu termasuklah risiko tercedera di bahagian kaki dan tangan ekoran terkena cengkerang tuntul yang tajam.
Menurutnya, penting untuk seseorang itu memakai sarung tangan dan kasut yang bersesuaian ketika turun mencari tuntul di laut.
“Selain itu, kita juga terdedah disengat hidupan laut berbisa seperti ikan pari dan obor-obor,” katanya.
Seorang lagi peniaga tuntul, Mazzary Mongo, 22, berkata, selain penduduk berhampiran Kuala Binsulok, tuntul sentiasa menjadi pilihan pelancong dari Labuan dan daerah berhampiran yang melalui jalan dari Kuala Penyu untuk ke Kota Kinabalu.
“Malahan, sebelum pandemik Covid-19 melanda, ramai pelanggan saya datang dari Brunei semata-mata mahu membeli dan memasak sendiri tuntul.
“Biasanya peniaga di Kuala Binsulok ini menjual tuntul pada harga RM5 bagi sebotol air mineral bersaiz besar atau RM20 untuk pembelian lima botol tuntul.
“Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh hasil penjualan tuntul sekitar RM50 hingga RM100 sehari pada hari biasa.

“Pendapatan itu meningkat dua kali ganda setiap kali tibanya semasa musim cuti sekolah atau perayaan kerana ramai pelanggan dari daerah lain berkunjung ke sini,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan yang juga penggemar tuntul, Nasari Gani, 35, berkata, dia dan isteri suka membeli dan memasak tuntul sebagai salah satu hidangan di rumah.
Nasari yang menetap di kawasan berhampiran memaklumkan, dia akan pergi ke gerai di Kuala Binsulok seminggu sekali untuk membeli tuntul.

SIPUT tuntul yang siap dimasak pasti memikat selera para penggemarnya.
“Tuntul ini boleh dikatakan menu wajib kami sekeluarga sekurang-kurangnya seminggu sekali.
“Isteri saya pasti mempelbagaikan menu masakan tuntul ini dan ia sedap dimakan begitu sahaja atau dihidangkan bersama nasi putih panas,” katanya.















