fbpx

Tujuh suspek dicekup jual, seludup mercun sejak awal Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa daripada Mohd. Suhaimi (kiri) kepada Mohd. Rosdi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seramai tujuh orang suspek termasuk seorang anggota polis wanita telah ditahan selepas mereka disyaki terlibat dengan kegiatan menyeludup dan menjual mercun bernilai hampir RM400,000 di Kelantan sejak hari pertama bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 33 tahun manakala anggota polis berpangkat Lans Koperal itu merupakan antara tangkapan terbaharu yang dijalankan di Kubang Kerian di sini Khamis lalu.

Menurutnya, polis sedang melengkapkan kertas siasatan bagi kes melibatkan anggota polis itu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap semua pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan kes jenayah. Anggota itu juga sudah disiasat dibawah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Bagi enam kes tangkapan lain, kita melakukan serbuan bersama Pasukan Gerakan Am untuk menahan mereka yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup mercun dan bunga api dari negara jiran.

“Kebanyakan penyeludup berjaya lolos semasa serbuan dijalankan apabila mereka sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang dan Tumpat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Majlis Serah Terima Tugas antara Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali kepada Ketua Polis Daerah Kota Bharu yang baharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.

Mohd. Rosdi sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Serdang dengan pangkat Superitendan sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kota Bharu dengan kenaikan pangkat kepada Asisten Komisioner.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, setakat ini, sembilan permohonan permit menjual bunga api di Kelantan telah diluluskan manakala dua lagi permohonan ditolak kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI