KINI mereka yang tinggal di bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya dan kawasan sekitarnya tidak perlu lagi memandu jauh seperti ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menikmati ketenangan dan kedamaian kawasan pantai.
Ini kerana, suasana pantai sebenar apabila kini terdapat sebuah pantai buatan di tengah-tengah bandar Putrajaya yang menanti mereka.
Bermula 1 Mac lalu, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) telah memperkenalkan satu lagi kawasan tarikan pengunjung iaitu Pantai Floria yang terletak di persisiran Tasik Putrajaya di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya yang menjanjikan suasana pantai seperti yang sebenar kepada pengunjung.
————————————————————————————————————————————————————————————————————-
SETIAP kali tibanya hujung minggu sudah pasti pelbagai aktiviti dirancang oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi setelah sekian lama terperuk di rumah akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.
Salah satu destinasi yang pastinya menjadi tumpuan orang ramai sudah tentulah kawasan pantai yang menjanjikan pasir memutih serta deruan ombak dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang sememangnya memberikan ketenangan setelah seminggu menghadap skrin komputer di pejabat.
Namun, sebut sahaja mana-mana pantai yang terkenal sebagai destinasi pelancongan seperti Port Dickson, Negeri Sembilan, Pantai Cahaya Bulan (Kelantan) dan Teluk Cempedak di Pahang sudah pasti boleh membayangkan betapa ramainya pengunjung lebih-lebih lagi pada hujung minggu.
Keindahan pantai-pantai tersebut juga sudah pastinya sukar untuk dinikmati oleh penduduk bandar susulan jarak yang agak jauh, selain terikat dengan cuti hujung minggu yang cuma dua hari.
Bagaimanapun, penduduk bandar terutamanya mereka yang menetap di sekitar Lembah Klang tidak perlu lagi menempuhi perjalanan jauh untuk menikmati suasana pantai sebenar apabila kini terdapat sebuah pantai buatan di tengah-tengah bandar Putrajaya yang menanti mereka.

SEORANG pengunjung bersama anak lelakinya tidak melepaskan peluang merasai sendiri keunikan Pantai Floria yang merupakan satu-satunya pantai berpasir di dalam bandar.
Bermula 1 Mac lalu, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) telah memperkenalkan satu lagi kawasan tarikan pengunjung iaitu Pantai Floria yang terletak di persisiran Tasik Putrajaya di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya yang menjanjikan suasana pantai seperti yang sebenar kepada pengunjung.
Pantai Floria secara rasminya dibuka kepada umum pada 16 Mac lalu dan merupakan tasik buatan sepanjang 100 meter yang menjanjikan pengalaman tidak boleh dilupakan dengan pelbagai aktiviti termasuklah rekreasi air kepada pengunjung.
Pengarah Jabatan Perancang Bandar PPj (Persekitaran, Tasik dan Wetland), Ruhselah Ismail berkata, keputusan untuk menjadikan persisiran Tasik Putrajaya sebagai lokasi tarikan pengunjung dibuat selaras dengan usaha menjadikan Putrajaya sebagai bandar rekreasi.
“Setelah melalui proses pembinaan selama enam bulan bermula pada Jun sehingga Disember 2021, Pantai Floria kini dibuka kepada pengunjung dengan kadar bayaran RM3 bagi dewasa dan remaja berumur 12 tahun ke atas, manakala kanak-kanak 5 hingga 12 tahun dikenakan caj RM2.
“Pantai ini dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6.30 petang kecuali pada hari Isnin bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya kepada Panorama ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Ruhselah, pelbagai faktor diambil kira oleh pihak PPj dalam pemilihan lokasi bersesuaian bagi mewujudkan pantai dalam bandar yang pertama seumpamanya itu bagi menjanjikan pengalaman terbaik kepada pengunjung.
“Dalam meneliti beberapa lokasi yang sesuai untuk dijadikan tarikan pengunjung dan mudah akses, pihak kami juga perlu mengenal pasti apa jua aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung di sini.
“Lokasi ini (Anjung Floria) dipilih memandangkan terdapat pelbagai aktiviti sokongan serta kemudahan tersedia, selain berhampiran lokasi ikonik lain, jadi pengunjung mempunyai banyak pilihan aktiviti yang boleh dilakukan,” ujar beliau.

Bercerita lanjut, Ruhselah memaklumkan, aktiviti dimaksudkan adalah seperti berkelah, memancing serta aktiviti air seperti berkayak dan bot kawalan jauh yang boleh disewa di lokasi.
“Selain pelbagai aktiviti yang dapat ditawarkan kepada pengunjung, kawasan di persisiran Tasik Putrajaya ini juga dipilih agar mereka dapat menikmati pemandangan yang indah dan suasana matahari terbenam di tengah bandar.
“Kewujudan pantai buatan ini juga merupakan yang pertama seumpamanya dan tidak ada di mana-mana kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, malah PPj merupakan satu-satunya PBT yang mempunyai Undang-undang Kecil Tasik sendiri,” jelasnya.
Berbicara mengenai tahap keselamatan dan kesihatan, Ruhselah menegaskan, perkara tersebut sentiasa menjadi keutamaan PPj dan mereka telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini kepada pengunjung.
“Apabila berbicara tentang aktiviti pantai di sini, sudah pastinya kualiti air menjadi kebimbangan pengunjung, namun tidak perlu risau kerana air di Tasik Putrajaya adalah di Kelas 2 yang membenarkan sebarang aktiviti sentuhan badan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami di Jabatan Perancang PPj untuk menjaga kualiti air agar tiada sebarang kes kegatalan pada badan, malah sejak Tasik Putrajaya siap dibina 20 tahun lalu, PPj sudah menumpukan fokus kepada penjagaan kualiti air,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai pembinaan Pantai Floria, Jurutera Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland, Jabatan Perancangan Bandar PPj, Tengku Mazuki Tengku Ismail berkata, pasir yang digunakan dibawa khas dari Pelabuhan Klang, malah dipastikan mempunyai cengkerang hidupan laut agar dapat memberikan perasaan seperti berada di pantai sebenar.
“Di hujung kedalaman 2 meter pantai ini kami turut membina tembok penghadang bagi mengelakkan pasir halus menggelongsor ke dalam tasik dan kerja-kerja penyelenggaraan sentiasa dilakukan secara berkala bagi memastikan hamparan pasir sentiasa cantik menanti pengunjung.

SELAIN bermandi-manda di persisiran Pantar Floria, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan tasik yang indah dengan berkayak.
“Turut dipasang adalah penghadang kelodak (Floating Silt Curtain) bagi menghalang kelodak, lumpur atau objek lain masuk ke dalam kawasan Pantai Floria dan begitu juga sebaliknya agar tiada sebarang pencemaran berlaku di lokasi berkenaan,” jelas beliau.
Menceritakan cabaran yang dihadapi dalam memastikan pantai berkenaan sentiasa bersedia menerima pengunjung, Tengku Marzuki berkata, pelbagai perkara diambil kira, namun tidak menolak kenyataan bahawa ia sudah pasti tidak dapat menandingi pantai sebenar.
“Jika di pantai sebenar sudah pasti ada ombak serta sistem filtrasi semula jadi lebih efisien, namun perkara ini kita turut perhalusi dan kini fokus diletakkan kepada penambahbaikan sistem penapisan kami agar air di tasik ini sentiasa bersih dan selamat.
“Kualiti air di tasik ini sentiasa diperiksa dengan melakukan pensampelan air secara berkala, malah pemeriksaan tahap pH air juga dilakukan setiap minggu, selain pemantauan di permukaan setiap hari agar pengunjung sentiasa selamat ketika mandi di sini,” katanya.
Tengku Mazuki berkata, kerja penambahbaikan sentiasa dilakukan agar dapat memberikan yang terbaik kepada pengunjung, malah pihak pengurusan juga sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan dan saranan daripada orang ramai.














