fbpx

5 ‘mat rempit’ pamer aksi berbahaya diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara penunggang motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Ops Khas Samseng Jalanan sekitar daerah Johor malam semalam.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan seramai empat individu dan lima mat rempit termasuk remaja lelaki berusia 14 tahun dalam Ops Khas Samseng Jalanan yang diadakan di semua daerah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Superintenden M. Kumarasan berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 14 hingga 29 tahun.

Beliau berkata, dalam operasi yang sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 515 keping saman POL.257 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dalam operasi tersebut, polis telah menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 2,756 individu dengan sebanyak 1,950 buah kenderaan, 1,006 daripadanya buah motosikal.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lima mat rempit dan empat yang lain melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, operasi khas yang melibatkan 425 pegawai kanan dan anggota itu turut menyita 105 buah kenderaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, Polis Johor menjalankan Operasi Khas Samseng Jalanan khusus dalam menangani masalah mat rempit yang semakin berleluasa di Kontinjen Johor.

Jelasnya, mat rempit ini sangat sinonim dengan aktiviti melepak, berkonvoi, mengubah suai motosikal dan berani melakukan aksi-aksi bahaya seperti lumba haram, wheelie, superman dan lain-lain aksi yang mana dengan jelas membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Budaya ini menjadi trend semasa dalam kalangan mereka malah tidak serik walaupun beberapa kali terlibat dengan kemalangan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan yang sama.

“Mereka turut berbangga melakukan aksi-aksi tersebut untuk dimuat naik di media sosial seperti TikTok, Instagram dan lain-lain platform. Operasi ini akan terus dijalankan dalam memastikan budaya ini dapat dibendung dan dikekang secara serius,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI