fbpx

Pemandu Myvi cuba rempuh polis, beberapa das tembakan dilepaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan yang mempunyai kesan tembakan dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

KAJANG – Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki tidak memberi kerjasama selain cuba menghimpit Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Pinggiran Mahkota Cheras pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.14 pagi itu, polis sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum melihat sebuah kereta jenis Myvi yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencuriga.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pemandu kereta berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan namun bertindak memecut kenderaan dipandunya.

“Polis telah mengejar suspek sejauh hampir tiga kilometer dan pada masa sama, suspek juga telah beberapa kali cuba menghimpit motosikal dinaiki anggota polis berkenaan.

“Sebaik tiba di jalan mati, suspek masih enggan menghentikan kenderaan dan cuba membuat pusingan ‘U’ selain cuba merempuh ketiga-tiga anggota URB terbabit.

“Akibat tindakan pemandu kereta yang mengancam nyawa, anggota terbabit telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta tersebut untuk mempertahankan diri namun suspek telah berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan.

“Susulan kejadian ini, polis telah melakukan pemantauan dan pemeriksaan sebelum berjaya menahan tiga individu yang terdiri daripada seorang lelaki warga asing (38 tahun), seorang lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan masing-masing berusia 34 tahun.

“Polis juga menemui kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang mempunyai kesan tembakan. Kesemua tangkapan akan dihadapkan ke Mahkamah Kajang untuk mendapatkan perintah reman esok bagi membantu siasatan.

“Beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes ini juga sedang diburu dan polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi IPD Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai berhampiran untuk membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI