fbpx

Ahli Parlimen lebih membela hak pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KDN gagal untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi mencerminkan kegagalan Ahli Parlimen. _- GAMBAR HIASAN

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri gagal mendapat kelulusan Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.

Kegagalan itu realitinya bukan sekadar memalukan pihak kerajaan tetapi sebenarnya memalukan sebilangan Ahli Parlimen yang enggan memberi sokongan kepada akta berkenaan.

Pelbagai alasan diberikan oleh Ahli Parlimen terbabit mengapa akta itu tidak wajar disokong antaranya ialah undang-undang berkenaan lebih bersifat drakonian atau menindas golongan yang ditahan.

Rakyat sekali lagi cuba dikelirukan dengan alasan-alasan songsang mengenai akta berkenaan. SOSMA diwujudkan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang pada awalnya diwujudkan bagi mengekang dan menghapuskan pengganas komunis.

Biasanya akta SOSMA digunakan melibatkan individu dan kumpulan tertentu yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara berada dalam ketakutan.

Mereka juga disyaki terlibat dalam kegiatan bertujuan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau memudaratkan ketenteraman awam.

Sudah tentu golongan berkenaan bukan terdiri daripada orang awam yang menjalani kehidupan harian biasa tetapi mempunyai kegiatan terancang baik jenayah mahupun cuba melakukan keganasan bagi tujuan ter­tentu.

Dalam dunia serba canggih hari ini, baik dari segi cara berkomunikasi, pergerakan fizikal atau pemindahan wang haram menjadikan usaha pihak berkuasa khusus­nya pasukan Polis Diraja Malaysia untuk mengesan, menyiasat dan menangkap golongan terbabit menjadi amat sukar khususnya dalam mengumpulkan bukti sahih.

Oleh itu, akta SOSMA amat diperlukan khususnya bagi menahan individu bagi tempoh tertentu dan diberi kuasa khas melanjutkan tahanan berkenaan melebihi 28 hari.

Kita yakin, golongan yang ditahan bukan terdiri daripada orang-orang biasa seperti penjual makanan di bazar Ramadan atau di gerai-gerai di tepi jalan selagi mereka tidak menjual barang-barang terlarang dan berbahaya.

Tidak pernah juga terdengar ada mak cik menjual goreng pisang ditangkap kerana dianggap individu berbahaya serta cuba mendatangkan ketakutan kepada orang ramai.

Justeru, jika kita sebagai pemimpin yang dipilih dan diundi oleh rakyat sewajarnya bersikap matang dalam menyatakan pendirian di Dewan Rakyat. Ada masa berpolitik, tampillah dengan idea-idea bernas, berdaya maju dan mampu memberi kebaikan kepada majoriti rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI