GERIK – Seorang lelaki Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya bulan lalu.
So To Nay, 26, didakwa menyebabkan kematian lelaki warga Myanmar dikenali sebagai So Ko antara pukul 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang di Lot 9256, Padang Sembai Mukim Gerik di sini pada 19 Mac 2022.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, So To Nay juga didakwa bersama rakannya, Min Aye Min Win, 34, kerana memasuki negara ini tanpa pas yang sah pada pukul 4.30 petang di kebun getah Padang Sembai, Gerik, 21 Mac 2022.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 ( Akta 155)(Pindaan 2002) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama.
Tiada jaminan ditawarkan dan kes disebut semula pada 17 Mei depan bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar. – KOSMO! ONLINE