fbpx

Hairan badan tumbuh kudis misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK AZIMAH (kanan) menguruskan suaminya yang terlantar akibat penyakit misteri di rumah mereka di Kampung Tanah Putih, Gua Musang. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang wanita terpaksa membuang rasa malu de­ngan meminta ihsan ahli keluarga terdekat dan jiran untuk menjamah makanan harian selepas suami yang diharapkan mencari nafkah terlantar akibat diserang sakit misteri sejak enam tahun lalu.

Nik Azimah Nik Musa, 30, berkata, kesihatan suaminya, Abdul Malik Md. Mahyuddin, 31, semakin merosot sejak lapan bulan lalu apabila badannya mula di­tumbuhi kudis misteri hingga menyebabkan lelaki itu lumpuh.

Katanya, sudah puas mereka berubat secara moden dan tradisional, namun keadaan suaminya masih tidak berubah dan tidak tahu jenis penyakit dihidapinya.

“Kami sudah banyak kali berusaha apabila merujuk penyakit suami ke hospital selain menggunakan khidmat 20 pengamal perubatan Islam dan bomoh sejak dia terlantar sakit dalam tempoh lapan bulan ini.

“Bagaimanapun, keadaan suami tidak juga sembuh sampai sekarang apabila anggota badannya ditumbuhi kudis dan tidak mampu bergerak bebas,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Tanah Putih di sini baru-baru ini.

Menurut Nik Azimah, selain menguruskan suami dan anak lelaki berusia tujuh tahun, dia menjadi ejen jualan produk makanan dan kecantikan untuk mencari pendapatan sekitar RM15 hingga RM20 sehari.

Tambahnya, jumlah itu tidak cukup untuk menampung per­belanjaan mereka tiga beranak sehingga terpaksa mengharap ihsan ahli keluarga terdekat dan jiran.

Prihatin dengan nasib keluarga itu, Pengerusi Persatuan Cakna Kasih Gua Musang, Siti Nor Azila Zulkifle hadir menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, Abdul Malik berkata, sebelum ini, tubuh badannya sihat dan dia bekerja sebagai pemandu lori yang membawa barangan runcit.

Katanya, ketika sedang be­kerja enam tahun lalu, dia tiba-tiba diserang sakit pada bahagian pinggang sehingga kakinya turut kejang.

“Selepas itu, saya tidak boleh berjalan dan bahagian badan terutamanya perut serta lengan telah dinaiki kudis.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa sakitnya ketika kudis itu berair kerana terasa kulit seperti ditoreh dengan pisau,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank CIMB Nik Azimah, 7620-4787-90 atau hubunginya di talian 017-904 0181. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI