fbpx

Rakyat Malaysia bertuah RON 95 masih disubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PERANG Rusia-Ukraine menyaksikan pelbagai komoditi terutamanya minyak mencatatkan kenaikan dan membebankan orang ramai di seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia.

Harga minyak dunia kini melepasi paras AS$110 (RM464) setong awal bulan ini selepas Barat melaksanakan pelbagai sekatan ke atas Moscow bagi menyasarkan ekonomi Rusia ketika ekonomi dunia mulai pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Perkembangan itu juga menyaksikan harga gandum meningkat 30 peratus, sekali gus paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun. Selain gandum, harga minyak masak juga melambung tinggi.

Ironinya, penduduk paling terjejas akibat sekatan Barat tidak lain dan tidak bukan ialah rakyat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sendiri. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, laman sosial seperti Instagram dan TikTok tidak asing dengan kandungan memaparkan penduduk AS ‘mengamuk’, marah, terkejut atau menangis melihat paparan harga petrol.

Petrol di AS yang dijual pada harga purata AS$4.24 (RM17.90) untuk satu gelen atau sekitar (RM4.83) satu liter. Bagi pemilik kenderaan di Malaysia, harga petrol RM4.83 seliter adalah sangat ‘menyeramkan’.

Bayangkan, rakyat marhaen yang memiliki kereta seperti Axia atau Proton Persona yang mana kapasiti tangki penuhnya antara 33 liter hingga 40 liter, mereka perlu membayar sehingga RM159 untuk tangki penuh Axia dan RM193 untuk mengisi penuh Persona.

Pemilik kenderaan negara ini biasanya mengisi petrol bagi kegunaan berulang-alik untuk bekerja. Ini bermakna mereka perlu membayar berkali ganda kos petrol dalam tempoh sebulan bergantung kepada jarak perjalanan masing-masing.

Bagi keluarga yang memiliki kedua-dua kereta, kos bulanan petrol mungkin akan meningkat sekitar RM1,400! Bayangkanlah bebanannya, kerana rata-rata, keluarga di Malaysia memiliki lebih sebuah kereta.

Bagi keluarga dalam kategori sederhana mewah yang memiliki kenderaan MPV dengan kapasiti tangki 60 liter, kos mengisi tangki minyak penuh adalah sekitar RM289.

Kos yang dianggarkan oleh penulis itu adalah bagi perjalanan ulang alik ke tempat kerja sahaja. Rakyat Malaysia juga gemar berlibur pada hujung minggu seperti pergi berkelah atau balik kampung yang sudah tentunya perbelanjaan petrol menjadi lebih tinggi.

Namun, rakyat Malaysia bernasib baik, bahkan sungguh bertuah kerana kerajaan menetapkan subsidi untuk minyak RON 95 yang digunakan oleh segenap lapisan masyarakat. Untuk mengisi penuh tangki Axia cuma menelan kos sekitar RM65.

Namun, sekiranya harga minyak dunia bertahan atau berterusan naik, mampukah kerajaan untuk meneruskan subsidi minyak RON 95?

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini menyatakan, kerajaan berbelanja lebih RM6 bilion bagi subsidi minyak dan minyak masak pada 2019 dan RM2 bilion pada 2020. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI