fbpx

Premis lupus sisa pepejal secara haram diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pusat pelupusan sisa pepejal haram yang diserbu SWCorp di Kepong, Kuala Lumpur semalam.

PUTRAJAYA – Tindakan sebuah premis menjalankan aktiviti pelupusan sisa pepejal secara haram tidak berpanjangan apabila diserbu oleh sepasukan penguat kuasa SWCorp Wilayah Persekutuan dalam serbuan di sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur semalam.

Serbuan yang dilakukan susulan intipan selama 14 hari itu turut berjaya menyita sebuah lori serta menahan pemilik premis berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, serbuan tersebut disertai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawal Selia (BPK), Ibu Pejabat SWCorp, Hazahar Hashim serta sembilan pembantu penguat kuasa.

Beliau berkata, premis tersebut dipercayai beroperasi sejak 2020 malah pernah diberi notis untuk membersihkan kawasan itu pada 2021 namun dikesan telah beroperasi semula.

“Penguatkuasaan dan tangkapan akan dibuat di bawah Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) kerana telah melonggokkan sisa pepejal terkawal dikawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Ummi Kalthum berkata, hasil semakan pemilik premis tidak mempunyai lesen untuk menguruskan dan mengendalikan kemudahan pengurusan sisa pepejal.

“Kesalahan ini boleh disabitkan dibawah Seksyen 14(1) yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM 50,000 dan tidak melebihi RM 100,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambah beliau, SWCorp mengingatkan kepada semua pihak yang ingin melupuskan sisa pepejal supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dengan melupuskan sisa pepejal terkawal di tapak pelupusan yang ditetapkan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI