AKTIVITI berenang atau bersantai di taman tema merupakan antara aktiviti pilihan masa senggang yang cukup popular, khususnya bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Namun, bagi golongan ibu atau wanita Muslimah yang mementingkan isu aurat, mereka sering dihantui kebimbangan untuk bermain air dengan anak-anak di taman-taman tema ekoran rasa tidak selesa.
Pemilihan pakaian patuh syariah ketika bermandi-manda di tempat awam sahaja tidak cukup kerana sebagai wanita beragama Islam, kita sebaiknya memilih lokasi sesuai untuk bermandi-manda bagi memberikan keselesaan yang maksimum sewaktu melakukan aktiviti tersebut tanpa mengetepikan aspek penjagaan aurat.
Menyedari permasalahan tersebut, seorang usahawan wanita mengambil langkah mewujudkan sebuah taman rekreasi dengan kolam renang patuh syariah yang mesra wanita Muslimah di negara ini.
Taman Rekreasi Asfa di Kemasik, Terengganu itu boleh dikatakan taman tema Islamik yang menawarkan kelainan berbanding taman-taman tema lain apabila turut menitikberatkan aurat kaum Hawa.

Menurut pemiliknya, Asfalinda Anuar, 44, Taman Rekreasi Asfa yang diambil bersempena dengan namanya itu merupakan kesinambungan daripada sebuah hotel miliknya di kawasan sama iaitu Asfa D’Village.
“Saya dan suami membeli tanah seluas kira-kira dua ekar (0.8 hektar) yang terletak berdekatan air terjun di belakang Bukit Harimau Menangis, Kemasik dan membangunkannya menjadi sebuah taman rekreasi dengan tiga unit kolam renang.
“Kami menghasilkan tiga buah kolam renang yang dibahagikan kepada kolam lelaki dewasa, kolam wanita dewasa dan juga kolam kanak-kanak. Kanak-kanak bagaimanapun boleh dibawa penjaga ke mana-mana kolam.
“Menariknya, kolam wanita dewasa adalah tertutup dan terpisah dari ruangan mandi lelaki dewasa, menjadikannya sebagai apa yang dipanggil kolam patuh syariah,” katanya kepada K2.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu menambah, idea mewujudkan kolam renang itu timbul selepas menyedari bahawa ada golongan Muslimah yang berasa kurang selesa apabila terpaksa mandi di ruangan terbuka sedangkan mereka mahu menjaga aurat.
“Saya memahami dilema golongan wanita yang bimbangkan pakaian yang dipakai akan mendedahkan bentuk tubuh mereka ketika mandi.
“Dengan mewujudkan kolam renang yang dipisahkan ini, golongan Muslimah bukan sahaja boleh mandi, bahkan mengikuti kelas renang yang diadakan di sini dengan penuh selesa tanpa perlu bimbangkan aurat mereka,” ujarnya sambil menambah bahawa lelaki dewasa tidak dibenarkan sama sekali masuk ke dalam ruangan mandian wanita itu.

Menyoroti operasinya, Taman Rekreasi Asfa mula membuka pintunya kepada para pengunjung pada 13 Mac 2020. Namun, taman tema ini terpaksa ditutup semula selepas hanya lima hari beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama negara pada 18 Mac 2020.
Ia kini beroperasi semula secara penuh pada Oktober tahun lalu dan mula menerima kunjungan orang ramai sama ada dari dalam Terengganu atau luar negeri itu.
Dua buah kolam dewasa di Taman Rekreasi Asfa adalah sedalam 1.37 meter, manakala kolam kanak-kanak pula sedalam 0.7 meter.
Menariknya juga, jelas Asfalinda, air kolam yang digunakan di Taman Rekreasi Asfa adalah air terjun yang mengalir dari Bukit Harimau Menangis.
“Pengunjung terutamanya kanak-kanak cukup suka bermain air di sini memandangkan airnya juga sejuk dan mendamaikan,” katanya.
Malah, saiz kolam yang besar juga menjadikan taman rekreasi itu tidak menetapkan had kepada bilangan pengunjung yang datang.
Berbeza dengan kebanyakan taman rekreasi lain, Taman Rekreasi Asfa juga berkonsepkan perkelahan di mana pengunjung dibenarkan menyewa gazebo sambil membawa makanan sendiri.
Menurut Asfalinda, terdapat 106 buah gazebo yang boleh disewa pengunjung untuk aktiviti potluck di premis tersebut.
“Sebelum ini, hanya terdapat 53 unit gazebo untuk kegunaan pengunjung, namun saya menambah lebih banyak gazebo bagi memberikan keselesaan kepada lebih ramai pengunjung
“Pengunjung bebas melakukan apa sahaja di gazebo yang disediakan, malah oleh kerana terlalu selesa, ada pengunjung yang membawa buaian anak mereka di gazebo tersebut sambil bermandi-manda,” katanya.

Asfalinda berharap lebih ramai lagi usahawan beragama Islam di luar sana yang turut peka dengan isu aurat kaum Hawa dengan mewujudkan lebih banyak taman tema atau rekreasi patuh syariah.
“Saya berharap lebih ramai lagi usahawan yang akan mewujudkan taman tema dengan konsep perkelahan dan patuh syariah seperti yang ada di Kemasik ini,” ujarnya.
Bagi seorang pengunjung, Abdul Hafiz Al-Fattah, 34, dia yang berkesempatan mengunjungi Taman Rekreasi Asfa hujung tahun lalu memuji usaha murni pemiliknya yang memisahkan kolam renang lelaki dan wanita bagi menghormati aurat golongan Muslimah.
“Saya berpendapat, tindakan pemilik mewujudkan kolam perempuan yang tertutup itu merupakan satu langkah yang baik untuk pengunjung bagi memberikan mereka pilihan dan keselesaan ketika mandi di situ.
“Malah, kawasan kolam itu juga cukup besar dan luas dengan pelbagai kemudahan seperti surau yang sememangnya sesuai buat pengunjung beragama Islam,” jelasnya.
Taman tema itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang. Tiket masuknya berharga RM15 bagi dewasa dan kanak-kanak, RM10 untuk warga emas dan percuma buat orang kelainan upaya (OKU).














