fbpx
AKIBAT terlalu kerap diganggu dua lembaga ngeri itu, Sazali ambil keputusan untuk berpindah biarpun baru sebulan menyewa. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Pindah rumah, tak tahan diganggu lembaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG lelaki tidak menyangka perpindahannya ke Pulau Pinang kerana ditukarkan tempat kerja memberikan satu pengalaman menakutkan dalam hidupnya.

Kisah membelenggu Sazali (bukan nama sebenar) bermula selepas dia mengambil keputusan menyewa sebuah kondominium dan tinggal seorang diri dahulu kerana isterinya sedang berpantang di kampung.

Pada mulanya, segala-galanya baik-baik sahaja, tetapi keadaan itu berubah selepas dia terserempak dengan lembaga wanita dan kanak-kanak di dalam lif.

Sazali berkata, sebaik menadapat arahan pertukaran tempat kerja ke negeri, dia tiak membantah.

Sebaliknya, dia menganggap keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan syarikatnya kira-kira 15 tahun lalu itu adalah yang terbaik untuk dirinya memandangkan dia juga diberi kenaikan pangkat dan gaji di pejabat baharunya itu.

Tanpa berfikir panjang, dia mula melayari laman-laman web selain bertanyakan kepada rakan-rakan untuk mencari rumah sewa yang sesuai untuk menjadi kediamannya sekeluarga.

“Selepas mendapat tahu ada sebuah rumah jenis kondominium yang ingin disewakan, saya terus ke Pulau Pinang bersendirian untuk melihat keadaan rumah itu memandangkan isteri saya berada di kampung untuk menunggu waktu bersalin anak sulung kami.

“Disebabkan saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk mencari rumah lain selain kadar sewa bulanan yang ditawarkan agak murah, akhirnya saya bersetuju untuk menyewa rumah tersebut yang mempunyai tiga bilik.

“Beberapa hari kemudian, saya berpindah masuk ke rumah tersebut selepas menyewa sebuah lori untuk mengangkut perabot dan barangan lain dari rumah sewa saya di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Sazali lagi, sepanjang minggu pertama dia menetap di rumah berkenaan, tiada sebarang perkara aneh yang berlaku.

Malah, jiran-jirannya juga agak peramah dan kerap menegurnya setiap kali ingin keluar bekerja atau pulang kerja pada waktu malam.

Namun, ketika masuk minggu kedua, keadaan berubah apabila dia mula diganggu dengan kejadian aneh ketika pulang dari kerja dan sewaktu sedang berehat di rumah pada waktu malam.

Kejadian pertama berlaku ketika dia yang sedang menunggu lif selepas pulang kerja syif malam ditemukan dengan seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang turut berada dalam lif yang sama, tetapi memalingkan muka ke arah dinding dan hanya berdiam diri.

SAZALI menemui lembaga perempuan bersama seorang kanak-kanak di dalam lif kondominium.– GAMBAR HIASAN

“Pada keesokan harinya pula ketika sedang makan malam di meja, saya mendengar bunyi seakan-akan guli jatuh bertaburan di atas lantai dan ia berlaku berkali-kali.

“Sebaik cuba mencari punca dari mana bunyi tersebut datang, ia tiba-tiba berhenti, menyebabkan saya menyangka ia mungkin datang dari arah rumah jiran yang mempunyai anak kecil.

“Tanpa memikirkan apa-apa, saya kemudiannya menonton televisyen selepas siap makan malam sebelum masuk tidur kira-kira pukul 12 tengah malam,” katanya.

Selepas beberapa hari tidak diganggu dengan perkara aneh, dia sekali lagi diganggu kejadian seram ketika dia sedang menonton televisyen di ruang tamu apabila tiba-tiba dia terdengar bunyi kerusi meja makan bergerak.

Katanya, ketika itu dia dapat lihat dengan jelas kelibat dua lembaga yang menyerupai wanita berambut panjang dan seorang kanak-kanak sedang duduk di meja makan, sama seperti wanita dan kanak-kanak yang pernah ditemui di dalam lif.

“Mereka tidak bergerak, sebaliknya hanya duduk di situ, seolah-olah sedang menunggu sesuatu,” katanya.
Terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia kemudiannya terus memejamkan mata dan membaca beberapa potong ayat suci al-Quran sebagai pendinding diri.

Selepas membuka semula mata, dia memberanikan diri untuk melihat ke arah meja makan tersebut dan didapati tiada lagi kelibat dua lembaga mengerikan itu.

Keesokan harinya, dia menceritakan perihal yang berlaku kepadanya itu kepada seorang jiran dan dengan bantuan jirannya itu, dia berjumpa dengan seorang ustaz yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Kata ustaz tersebut, gangguan berkenaan datang dari sebuah rumah kosong yang telah lama ditinggalkan di sebelah rumah sewa saya.

“Kata jiran saya itu lagi, mereka juga pernah diganggu perkara-perkara seperti itu tetapi disebabkan telah lali, akhirnya mereka membiarkan sahaja,” katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan dia kerap diganggu dengan kehadiran dua lembaga berkenaan dalam situasi berbeza, dia kemudian mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah sewa lain walaupun baru sebulan menyewa di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN