fbpx

Singapura sekat impian Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Malaysia, Liridon Krasniqi meraikan jaringan yang dihasilkannya dalam aksi persahabatan menentang Singapura di Stadium Nasional Singapura, sebentar tadi. Malaysia tewas 2-1. /FOTO FACEBOOK FAM

HASRAT Harimau Malaya untuk memperoleh kemenangan kedua dalam aksi persahabatan di Singapura tidak kesampaian selepas tewas 2-1 kepada tuan rumah di Stadium Nasional Singapura, sebentar tadi.

Walaupun dilihat lebih menguasai majoriti masa permainan, Singapura jelas pasukan yang lebih bernasib baik apabila memanfaatkan peluang terhidang ketika Harimau Malaya turut dipalit kegagalan Safawi Rasid untuk menyempurnakan sepakan penalti di awal babak kedua.

Seperti dijangka, Malaysia memulakan permainan dengan agak positif dan dilihat begitu selesa mengawal bola serta memberikan tekanan lebih awal setiap kali pemain lawan cuba mengatur gerakan.

Ketika tuan rumah lebih tertumpu kepada serangan balas, minit ke-16, Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat Syafiq Ahmad lebih awal ekoran kecederaan yang dialaminya dan digantikan oleh Mohamadou Sumareh.

Minit ke-30, penyokong tuan rumah ceria apabila Ikhsan Fandi memastikan jaringan ke 12 peribadinya bersama skuad kebangsaan Singapura apabila meledak gol pembukaan perlawanan.

Hanya seminit selepas aksi bersambung, pengadil perlawanan, Ahmad A’Qashah menghadiahkan penalti buat Malaysia namun ia gagal disempurnakan dengan baik oleh Safawi apabila sepakannya sekadar menggegar palang gol.

Harimau Malaya terus menggandakan asakan dan minit ke-57, kerja keras Safiq Rahim merampas bola di kaki pemain lawan nyata membuahkan hasil apabila berjaya membuka ruang kepada Akhyar Rashid melakukan lorongan berkualiti untuk Liridon Krasniqi meledak gol penyamaan.

Ketika keghairahan pasukan negara mencari tambahan gol, minit ke-76, kualiti kawalan bola dimiliki Ikhsan sekali lagi menghukum benteng Harimau Malaya apabila anak kepada legenda Singapura, Fandi Ahmad itu melepasi kawalan tiga pemain Malaysia sebelum melepaskan rembatan deras untuk menewaskan Farizal Marlias buat kali kedua. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI