fbpx

MySPC lancarkan PDPS Fasa 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) hari ini melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan) melibatkan 167 program daripada 17 kementerian atau agensi terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pangkalan data itu mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga 2020 dan program-program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.

“PDPS ini akan menjadi single gateway serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial yang meliputi elemen Pekerjaan, Insurans Sosial dan Bantuan Sosial.

“Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka setelah Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, Malaysia sedang menuju fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini selepas dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, pandemik itu telah mengakibatkan ekonomi negara terjejas, perniagaan tidak dapat beroperasi sebaiknya, ramai kehilangan pekerjaan hingga menyebabkan ada yang terjerumus dalam kelompok kemiskinan.

“Pandemik Covid-19 telah menyedarkan semua pihak tentang kelemahan sistem perlindungan sosial kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Justeru, kerajaan MySPC telah mengenal pasti mekanisme perlindungan sosial yang lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, mesyuarat MySPC Bilangan 1 Tahun 2022 hari ini telah bersetuju mengambil beberapa tindakan, antaranya memperkasakan agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah pentadbiran.

Katanya, ia akan dilakukan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.

“Meningkatkan tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam eKasih.

“Kerajaan akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada isi rumah (IR) miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian KIR melibatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam eKasih.

“Setiap IR akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun,” katanya.

Selain itu, menurut Ismail Sabri, Malaysia Productivity Corporation (MPC) diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI