fbpx

Penarik kereta bebas tuduhan bunuh kontraktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syaiful Afikin (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini untuk mendengar keputusan pertuduhan bagi kes bunuh yang dihadapinya. - Foto oleh ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang penarik kereta mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh seorang kontraktor 11 tahun lalu.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan tersebut ke atas Syaiful Afikin Mohd. Firus, 46, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan di akhir pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Saw Yew Siang, 68, di Kampung Pak Jah, Tumpat kira-kira pukul 8 malam sehingga 10 malam pada 3 Oktober 2011.

Syaiful Afikin didakwa mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Media sebelum ini melaporkan, Yew Siang ditemui mati dengan kepalanya dibungkus dengan kain manakala kedua-dua belah tangan diikat ke belakang di kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai di sini.

Mayat lelaki itu dijumpai sepasang suami isteri ketika mereka sedang mengutip sayur-sayuran di kebun berkenaan.

Terdahulu, tertuduh turut dilepas dan dibebaskan terhadap pertuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran di Mahkamah Tinggi di sini, Mei tahun lalu.

Wan Ahmad Farid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata itu di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Panji di sini kira-kira pukul 3.30 pagi, 11 Jun 2018.

Syaiful Afikin didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI