Gambar hiasan.

4 sekeluarga maut: pemandu Hilux mengaku tidak salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan empat sekeluarga dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bulan lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisteret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu.

Tertuduh Aliff Ashraf Abu, 27, yang hadir memakai pendakap pada leher membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu Toyota Hilux didakwa memandu kenderaan tersebut dengan melulu atau kelajuan merbahaya  kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian terhadap P.Milan Damani, 32, C.Tinisha, 31, Rihaan Ivaan Damani ,4, dan Ishaan Ivaan Damani,3,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Lebuhraya Sultan Iskandar di sini pukul 11.20 pagi pada 27 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd. Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Muhammad Izzat Hasizan memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Ini merupakan kali pertama tertuduh dituduh di mahkamah dan semasa kejadian tertuduh bukan dibawah pengaruh alkohol dan dadah,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 27 Februari lalu media melaporkan polis akan menahan pemandu kereta pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Sarifudin Mohd. Salleh, berkata lelaki berusia 27 tahun itu, kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas cedera ringan akibat kemalangan tersebut.

Menurut polis pemandu yang bekerja sebagai mekanik itu akan ditahan selepas menerima rawatan dan ujian saringan air kencing dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Terdahulu dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, siasatan mendapati kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dari arah Mahameru menghala Jalan Tun Razak, terbabas di selekoh sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

Menurutnya, kenderaan tersebut telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dinaiki empat sekeluarga.

Akibat rempuhan itu, pemandu dan tiga penumpang berusia tiga hingga 32 tahun disahkan maut di lokasi oleh penolong pegawai perubatan HKL. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN