fbpx

Pembiayaan sistem kesihatan awam negara masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi, tetapi melaksanakan pelaburan yang kurang optimum untuk sistem kesihatan awam pada setiap tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pembiayaan negara bagi sistem kesihatan awam cuma pada kadar 2.58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.

“Malah saya boleh katakan ada “chronic under investment” terhadap sistem kesihatan awam negara. Sebagai contoh berdasarkan laporan Ketua Audit Negara pada 2018.

“Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital kerajaan kekurangan kakitangan, kesesakan sebab beban pesakit tinggi, kekurangan dana dan peralatan yang mencukupi.

“Ini adalah antara perkara yang menyebabkan perkhidmatan kesihatan awam tidak dapat disediakan dengan baik,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) sama ada isu kekurangan peruntukan akan dimasukkan ke dalam Kertas Putih Kesihatan dan bila ia akan dibentangkan.

Jelas Khairy Jamaluddin, kekurangan yang beliau sebut itu bukan sesuatu yang terpencil, namun ia refleksi kepada keseluruhan fasiliti kesihatan kerajaan.

Tegas beliau, perbelanjaan kesihatan awam Malaysia adalah rendah berbanding negara berpendapatan sederhana tinggi lain iaitu sekurang-kurangnya empat peratus.

Justeru, katanya, soal pembiayaan dan peruntukan kesihatan awam merupakan perkara sangat penting untuk dibincang dan diputuskan dalam Kertas Putih Kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI