fbpx
MENURUT Azizan, khidmat konsultansi dan bimbingan lebih berkesan daripada seminar dalam membantu usahawan bergerak maju dalam bisnes.

Strategi berkesan bisnes kencang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI orang mengenali nama figura Datuk Wira Azizan Osman sebagai seorang pembimbing para usahawan untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidang perniagaan.

Namun, tidak kurang juga yang bersikap negatif dengan melabel beliau sebagai seorang scammer kerana dengki dengan apa yang telah dicapainya pada ketika ini.

Kolum Wawancara Kosmo! Ahad minggu ini membawakan figura popular tersebut yang membicarakan tentang melahirkan ramai usahawan jutawan di negara ini dengan tidak mempedulikan komen-komen negatif terhadap dirinya.

Apa yang dia mahu adalah melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.
———————————————————————————————————————————————————————
NAMA Datuk Wira Dr. Azizan Osman tidak perlu diperkenalkan lagi kepada sebahagian besar masyarakat di negara ini, terutamanya dalam kalangan usahawan.

Figura tersebut memiliki keupayaan luar biasa dalam memberi perubahan positif kepada seseorang individu dalam menghasilkan kerja terbaik serta berfikiran di luar kotak.

Sejak 2008, Azizan telah membantu lebih daripada 700,000 peserta menerusi program anjuran RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) yang diasaskan sendiri oleh beliau.

Beliau juga telah membantu ribuan usahawan tempatan menjadi jutawan menerusi formula serta strategi perniagaan yang terbukti cukup berkesan.

Pada masa sama, menerusi program High Net Worth Coaching bersama kumpulan Titanium, Azizan telah memberikan bimbingan kepada lebih 700 usahawan jutawan.

Menerusi bimbingan beliau, usahawan Titanium tersebut berjaya mengembangkan perniagaan mereka secara luar biasa dengan anggaran jualan tahunan mencecah RM1.5 bilion. Bagi mengulas lebih lanjut mengenai kejayaan program-program anjuran RichWorks, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berkesempatan menemu bual Azizan Osman di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO AHAD!: Bagaimana Datuk dapat meyakinkan para usahawan yang menyertai program dan coaching anjuran RichWorks supaya lebih berkeyakinan tinggi untuk berjaya?

AZIZAN: Saya ada prinsip dan formula asas dalam membina keyakinan seseorang usahawan. Pertama sekali, usahawan berkenaan perlulah mempunyai ilmu asas dalam perniagaan.

Kedua, mereka juga harus faham strategi perniagaan yang berkesan seperti mencari staf dan pasukan pengurusan yang baik.

Akhir sekali, manusia ini akan bertambah yakin apabila kita tunjukkan bukti atau kajian kes usahawan lain yang telah mencapai kejayaan. Misalnya, ada seorang doktor dari Tangkak, Johor yang terpaksa berulang-alik setiap hari ke kliniknya di Labis.

Apabila menyertai program RichWorks, kami berikan dia ilmu dan strategi perniagaan.

Kami juga tunjukkan contoh kejayaan doktor lain yang telah menjadi usahawan berjaya.

Alhamdulillah, sekarang doktor di Labis ini tidak perlu lagi berulang-alik ke kliniknya setiap hari kerana dia sudah menggaji doktor lain untuk ambil tugasnya. Jadi, dia boleh tumpukan perhatian mengembangkan perniagaannya.

Adakah RichWorks mampu memberi kajian kes kepada semua jenis perniagaan. Berapa lama pula masa yang diambil untuk seseorang usahawan itu berjaya?

Secara amnya, setiap perniagaan mempunyai asas yang hampir sama. Misalnya, kami mungkin tiada kajian kes berkaitan perniagaan portal media.

Bagaimanapun, kami mungkin boleh ajukan kajian kes seperti syarikat Eskayvie Sdn. Bhd. yang berjaya membina perniagaan secara langganan dengan pulangan jutaan ringgit setiap hari.

Kami juga mungkin boleh ajukan kajian kes dari luar negara seperti Wall Street Journal yang berjaya menarik langganan yang banyak.

Selepas diberi strategi dan kajian kes, usahawan itu perlu mengikut setiap langkah yang disarankan sambil dipantau oleh kami.

Mengulas mengenai masa untuk seseorang usahawan itu mentransformasi perniagaannya, bergantung pada situasi bisnes mereka.

Kalau baru mula berniaga, mungkin ambil masa lebih tiga tahun.

Kalau datang kepada kami dalam keadaan perniagaan sudah lengkap dan perlu beberapa sahaja langkah, mungkin masanya lebih cepat.

Jika sebelum ini, Datuk menggunakan nama sendiri berbanding syarikat sebagai mentor kepada usahawan. Kini, datuk lebih selesa ‘mengangkat’ nama RichWorks. Apakah strategi Datuk sebenarnya?

Ketika saya terlibat dalam perniagaan ini dahulu, saya memang bercadang untuk mengangkat nama RichWorks.

Namun, bagi sesetengah perniagaan, apabila menggunakan nama seseorang itu, lebih cepat dikenali dalam pasaran.

Itulah yang saya lakukan iaitu dengan ‘mengangkat’ nama Azizan Osman itu sendiri terlebih dahulu sebelum ditransformasi kepada RichWorks.

Meskipun saya masih pengerusi RichWorks ketika ini, namun sejak 2016 saya kurang terlibat dalam hal pengurusan lagi.

Saya sudah ada sebuah pasukan yang dapat menguruskan syarikat ini dengan baik.

Insya-Allah, RichWorks mungkin dapat beroperasi sendiri sebagai sebuah firma konsultan menjelang tahun 2025. Penglibatan saya ketika ini, lebih kepada memberi tunjur ajar kepada usahawan yang mengalami masalah terlalu kompleks.

Adakah strategi pemasaran baharu ini turut merubah orientasi perniagaan RichWorks itu sendiri. Sejauh manakah proses transformasi itu dilakukan?

Mungkin sebelum ini, ramai mengenali RichWorks sebagai sebuah firma yang menganjurkan seminar-seminar berkaitan keusahawanan.

Selepas tahun 2015, kami sebenarnya telah menumpukan kepada khidmat konsultansi serta bimbingan buat usahawan yang ingin mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Kami berasakan kaedah ini lebih berkesan berbanding seminar. Kalau seminar, para usahawan datang dan dengar sahaja.

Tiada orang yang boleh pantau perniagaan mereka secara dekat. Kalau menerusi khidmat konsultansi dan bimbingan ini, kami dapat membantu mereka dengan lebih berkesan.

Setiap bulan, mereka perlu hantar laporan perniagaan kepada kami. Dari situ, kami dapat membantu menyelesaikan setiap permasalahan dihadapi.

Misalnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, ramai usahawan yang bimbang mengalami kerugian.

Alhamdulillah, usahawan di bawah program Titanium kami berjaya mengharunginya.

Malah, rekod jualan dicatatkan kumpulan ini telah meningkat daripada RM901 juta pada 2019 kepada RM2.27 bilion pada 2020 iaitu ketika pandemik Covid-19.


AZIZAN terdetik untuk menulis buku Bangkit Bisnes Dari Krisis selepas melihat ramai usahawan hilang sumber pendapatan dan semangat akibat pandemik Covid-19.

Ketika ini, negara berada dalam fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik. Dalam situasi sekarang, apakah nasihat yang Datuk boleh berikan kepada usahawan di luar sana?

Walaupun masyarakat sudah dibenarkan keluar rumah ketika ini, namun ramai juga yang takut berbuat demikian.

Sebagai usahawan, jangkaan mereka orang ramai akan berbelanja menggunakan platform online.

Sebenarnya perkara tersebut tidak berlaku ketika ini. Kita boleh lihat, jualan dalam platform Shopee dan Grab terjejas teruk. Indikasi ini menunjukkan pengguna sangat berhati-hati dalam berbelanja sekarang.

Duit masih ada dalam pasaran, orang kerajaan dan swasta masih dapat bonus.

Dalam situasi ini, usahawan perlu bijak dalam pemasaran bagi menyakinkan pelanggan membeli produk mereka. Ketika ini masa yang sukar. Justeru, usahawan perlu bekerja lebih keras lagi.

Difahamkan Datuk bakal menyambung pengajian dalam perniagaan di luar negara selepas ini? Boleh Datuk ceritakan lebih lanjut perkara ini?

Sebenarnya, sudah lama saya merancang untuk melanjutkan pelajaran di Institute for Management Development (IMD) Business School, Switzerland.

Disebabkan pandemik, hasrat itu tertangguh agak lama. Tetapi baru-baru ini, saya dijemput untuk menghadiri kelas secara fizikal.

Sebenarnya IMD ini tidak sama dengan pengajian perniagaan di tempat lain. Tujuan utama saya melanjutkan pelajaran di situ adalah untuk mengetahui mengenai jenis perniagaan yang mempunyai potensi besar pada masa depan. Contohnya, selain daripada emas, komoditi apa lagi yang harganya bakal meningkat selepas ini.

Saya jangka pasaran kenderaan elektrik sangat besar dalam tempoh 10 tahun mendatang.

Sebagai usahawan, pelaburan terbaik adalah komoditi yang berkaitan pembuatan kenderaan ini. Ilmu seperti ini hanya boleh didapati di pusat pengajian terbaik di luar negara.

Boleh ceritakan sedikit mengenai buku terbaharu Datuk bertajuk Bangkit Bisnes Dari Krisis yang diterbitkan awal tahun ini?

Buku ini ditulis sendiri oleh saya selepas melihat ramai usahawan hilang sumber pendapatan dan semangat akibat pandemik.

Hasil daripada pengalaman melihat dan berbicara dengan usahawan yang berjaya bangkit selepas krisis ini, saya rasa terpanggil untuk membukukannya.

Dalam buku ini, saya memberi penekanan mengenai transformasi kaedah pemasaran secara fizikal kepada digital.

Kami telah mencetak sebanyak 10,000 naskhah yang akan diberikan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Mereka yang ingin mendapatkan buku ini boleh mendapatkannya secara online dengan melayari laman web richworks.com.

Ketika mengecapi kemasyhuran, ada segelintir pihak yang dengki dengan kejayaan dicapai hingga sanggup melabel Datuk sebagai seorang scammer. Apa reaksi dan komen Datuk dalam hal ini?

Sebenarnya, saya rasa tidak perlu menghabiskan tenaga dan masa untuk memberi penerangan kepada golongan seperti ini (netizen).

Saya rasa lebih baik tumpukan perhatian kepada kumpulan yang betul-betulkan memerlukan khidmat nasihat daripada RichWorks.

Saya yakin, golongan melabel saya sebagai scammer itu tidak tahu betapa bernilainya informasi yang kami berikan kepada usahawan di luar sana.

Analoginya seperti ini, saya sedang berjalan di satu lorong. Tiba-tiba ada anjing menyalak kepada saya, buat apa saya hendak layan anjing itu.

Lebih baik teruskan perjalanan menuju destinasi saya. Pada saya, selagi air liur saya ini bernilai kepada mereka di luar sana, gunakan sebaiknya.

Saya hendak beritahu, hampir 95 peratus iklan di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan terdiri daripada usahawan dididik menerusi air liur saya.

Tanpa disedari, RichWorks sebenarnya telah memberi impak besar kepada ekonomi negara dengan lahirnya ramai usahawan berjaya. Boleh Datuk ulas sedikit mengenai perkara ini?

Pada tahun lalu, kumpulan Titanium kami berjaya mencatatkan jualan keseluruhan berjumlah RM3.7 bilion.
Kalau kita ambil 24 peratus daripada jumlah itu telah disumbangkan kepada cukai negara iaitu sekitar RM800 juta.

Prinsip kami di RichWorks adalah membayar cukai kepada kerajaan, selain zakat dan sedekah merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh setiap usahawan.

Tujuannya adalah apabila sesuatu jenama itu ‘meletup’ di pasaran, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pasti kejar usahawan ini.

Kalau tidak bayar cukai, usahawan itu akan meneruskan perniagaan dalam keadaan takut dan sukar berkembang.

Sebenarnya, banyak manfaatnya apabila bayar cukai ini seperti memudahkan seseorang usahawan itu mendapat pelbagai bantuan dan insentif daripada agensi kerajaan.

UJAR Azizan, tujuan utama dia melanjutkan pelajaran adalah untuk mengetahui jenis perniagaan yang mempunyai potensi besar pada masa depan.

Apakah nasihat yang Datuk boleh berikan kepada orang ramai di luar sana yang ingin mengejar impian mereka menjadi seorang usahawan berjaya?

Secara jujurnya, kebanyakan orang di luar sana kurang yakin terhadap potensi diri masing-masing.

Persepsi orang, kalau hendak jadi usahawan berjaya semua benda harus dikuasai terlebih dahulu sama ada teknologi, sistem pengurusan dan sebagainya.

Sebenarnya, kalau ingin menjadi seorang usahawan berjaya, mereka tidak perlu kuasai semua perkara itu.
Sebaliknya, mereka boleh menggaji orang yang sudah ada kepakaran dalam bidang berkenaan.

Misalnya menulis dan membuat video, usahawan itu tidak perlu belajar mengarang atau guna kamera.

Sebaliknya, mereka perlu bayar sahaja kepada individu yang sudah terbukti pakar dalam bidang tersebut.

Jadi, usahawan tadi boleh fokus kepada kekuatannya iaitu membina dan mengembangkan perniagaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN