fbpx

[VIDEO] Lima termasuk pesakit Covid-19 cedera, kemalangan libat dua ambulans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebahagian daripada lima kenderaan termasuk dua ambulans yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Bahru - Kuala Terengganu berhampiran Kampung Chalok Kedai, Setiu semalam.

SETIU – Lima cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk dua ambulans di Jalan Kota Bahru – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Chalok Kedai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.55 petang itu, seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna, Perodua Aruz patah kaki kanan.

Kemalangan yang berlaku di hadapan sebuah stesen minyak itu turut menyebabkan isteri mangsa dan seorang pesakit Covid-19 yang menaiki salah sebuah ambulans cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussain berkata, pemandu ambulans dan seorang jururawat yang berada di dalam ambulans itu turut cedera ringan.

Beliau berkata, kemalangan bermula apabila sebuah ambulans yang membawa pesakit Covid-19 itu cuba memotong lori dihadapannya di lokasi kejadian.

“Sewaktu sedang memotong, ambulans yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Setiu dari Hospital Kemaman tidak perasan kehadiran dua kenderaan yang berhenti di garis putus-putus di tengah jalan lalu merempuhnya.

“Difahamkan kereta Perodua Axia dan Perodua Aruz itu berhenti di lokasi kejadian kerana hendak memasuki sebuah stesen minyak yang terletak di laluan bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, Perodua Axia yang dirempuh ambulans itu berpusing lalu melanggar kenderaan Perodua Aruz dihadapannya.

Tambah beliau, pada masa sama, sebuah ambulans lain yang dalam perjalanan ke Hospital Besut dari Hospital Hulu Terengganu pula gagal mengelak lalu melanggar belakang ambulans pertama.

“Impak rempuhan menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori dipandu lelaki berusia 61 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI