fbpx

Lelaki tipu 188 identiti kanak-kanak untuk tuntut elaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ali menghantar permohonan menggunakan sekurang-kurangnya 70 nama berbeza dalam tempoh sembilan tahun. - TeessideLive

LONDON – Seorang lelaki dari Britain yang menjadi dalang dalam kes penipuan tuntutan elaun  kanak-kanak dan pembayaran lebihan cukai dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setengah selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah £1.8 juta (RM9.9 juta), lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Ali Bana Mohamed, 40, didakwa membuat tuntutan palsu bagi 188 orang ‘anaknya’ dengan menghantar permohonan menggunakan sekurang-kurangnya 70 nama berbeza dalam tempoh sembilan tahun.

Dia menerima pembayaran faedah dan kredit cukai kanak-kanak daripada Jabatan Hasil & Kastam Diraja  sehingga pasukan penyiasat dari agensi itu mula berasa curiga.

Pegawai agensi berkenaan kemudiannya mendapati bahawa terdapat dua nombor telefon yang digunakan secara berulang untuk menelefon pusat panggilan tuntutan berhubung kes-kes yang tidak berkaitan.

Susulan itu, satu siasatan jenayah  telah dilancarkan, yang seterusnya mendedahkan penipuan tersebut.

Enam daripada suspek yang bersubahat dijatuhi hukuman penjara dengan jumlah keseluruhan selama lebih 13 tahun oleh Mahkamah Diraja Liverpool.

Ali yang telah pun menjalani hukuman penjara 16 tahun atas jenayah berkaitan dadah dan imigresen pula dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setengah selepas mengaku bersalah terhadap 29 pertuduhan penipuan.

Pendakwa raya Kevin Slack berkata, dalam beberapa kes, tertuduh menggunakan identiti individu lain, manakala empat daripada defendan membenarkan penipuan dilakukan menggunakan nama mereka. Sebagai balasan, mereka diberikan sebahagian daripada wang tuntutan yang diterima.

Kesemua tuntutan dibuat bagi pihak ‘kanak-kanak’ yang diakui sebagai anak-anaknya.

“Bagi kesemua 188 kanak-kanak yang dituntut manfaat tersebut, mereka hanyalah rekaan semata-mata,” kata Slack.

Tertuduh telah menerima pembayaran sebanyak £1.4 juta (RM7.73 juta) bagi kredit cukai dan £346,000 (RM1.9 juta) untuk elaun penjagaan kanak-kanak. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI