fbpx
Tengku Zafrul

Kerajaan berusaha kurangkan beban kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Keluarga Malaysia diseru agar tidak leka di sebalik pemulihan ekonomi yang berjaya dikecapi baru-baru ini terutamanya apabila berada di persimpangan jalan yang kritikal menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini dijangka berkurangan berbanding tahun lalu.

“Pengurangan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia itu adalah berikutan ancaman varian Omicron, peningkatan kadar inflasi dan gangguan rantaian bekalan dunia.

“Unjuran tersebut turut didorong oleh permintaan terpendam yang mula reda serta pengurangan sokongan fiskal dan rangsangan ekonomi oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Perasmian Hari Hasil Ke-26 di Menara Hasil di sini hari ini.

Menurut beliau, kemasukan tentera Rusia di Ukraine baru-baru ini juga telah meningkatkan kadar inflasi yang mana harga minyak mentah telah melebihi paras AS$100 setong manakala harga komoditi lain telah melonjak akibat rantaian bekalan yang terjejas.

“Kerajaan akan berusaha mengimbangi perbelanjaan segera demi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia melalui pelbagai bentuk bantuan serta memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Tahun ini, kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan tumbuh 5.5 hingga 6.5 peratus selari dengan unjuran oleh IMF (5.7 peratus) dan Bank Dunia (5.8 peratus).

“Ini akan didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan,” jelas beliau.

Tambah Tengku Zafrul, beliau yakin bahawa pertumbuhan itu akan turut disumbang oleh kerjasama berterusan antara Kementerian Kewangan dan LHDN, terutamanya berkenaan inisiatif Bajet 2022.

“Ini termasuklah pelaksanaan Cukai Makmur yang akan dikenakan secara ‘one off’ kepada syarikat yang meraih keuntungan luar biasa sepanjang tempoh pandemik dan hasil dari cukai tersebut akan digunakan untuk memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya saing.

“‘Tax Identification Number’ atau TIN dan Sijil Pematuhan Cukai juga akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengumpulan hasil negara malah mulai tahun hadapan, semua peniaga yang ingin mendapatkan projek dengan kerajaan dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai sebagai salah satu syarat utama,” katanya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR