fbpx

Beku akaun simpanan, 9 individu, 3 syarikat saman CIMB Bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu dan tiga syarikat yang juga pemegang akaun CIMB Bank memfailkan saman terhadap bank itu berhubung pembekuan akaun simpanan serta akaun semasa mereka.

Pembekuan akaun itu dibuat oleh bank tersebut pada Januari lalu atas alasan disyaki terbabit dalam kegiatan haram dan mencurigakan bagi akaun berkenaan.

Kesemua indvidu selaku plaintif memfailkan saman tersebut menerusi Tetuan Nazmi Zaini Chambers di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan menamakan CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Peguam Nazmi Mohd. Zaini yang mewakili semua plaintif ketika dihubungi berkata, pengurusan kes ditetapkan 15 Mac ini secara di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi S.Malarselvi.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif yang juga pendeposit akaun simpanan dan akaun semasa yang disediakan defendan itu, mendakwa mereka mengetahui akaun berkenaan dibekukan kedua-dua defendan pada 26 Januari hingga 28 Januari lalu.

Berikutan itu, mereka kemudian telah menghubungi cawangan kedua-dua defendan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan mereka disyaki terbabit dalam kegiatan haram serta mencurigakan membabitkan akaun berkenaan.

Menurut plaintif mereka dimaklumkan jumlah (wang) yang dibekukan adalah sebahagian daripada transaksi terapung sementara menunggu penyelesaian transaksi itu dan semua plaintif dimaklumkan sistem perbankan secara dalam talian defendan dalam proses penyelenggaraan teknikal.

Plaintif pada setiap masa mendakwa mereka tidak pernah terbabit menjalankan transaksi yang membenarkan defendan membekukan atau menahan akaun berkenaan.

“Tindakan defendan membeku atau menahan akaun itu tanpa sebarang alasan dibenarkan di dalam Klausa 7, Terma dan Syarat Akaun Simpanan dan Terma dan Syarat Akaun Semasa adalah suatu kemungkiran kontrak antara plaintif dan defendan selain pembekuan atau penahanan akaun itu menyebabkan plaintif mengalami kesukaran, kesulitan dan kepayahan apabila tidak boleh mengguna pakai akaun berkenaan,” kata plaintif.

Dakwa plaintif, defendan mengabaikan tugasnya apabila membenarkan kecuaian pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kiriman wang yang menjejaskan hak dan kedudukan mereka sebagai pelanggan serta pendeposit.

Justeru semua plaintif memohon antaranya deklarasi bahawa defendan sudah memungkiri terma dan syarat akaun simpanan serta akaun semasa apabila tindakan defendan membekukan akaun itu tanpa sebab yang dibenarkan undang-undang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI