fbpx

JKM peruntuk RM8 juta untuk pengurusan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina (kiri) beramah mesra dengan seorang warga emas yang juga mangsa banjir di SK Bukit Mentok, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperuntukkan RM8 juta bagi pengurusan bencana banjir di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, setakat ini, sebanyak RM4.5 juta daripada peruntukan itu telah disalurkan ke negeri-negeri.

Beliau berkata, Kedah, Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak masing-masing telah menerima RM500,00 pada suku pertama tahun ini, diikuti Melaka sebanyak RM150,000.

“Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pula masing-masing mendapat RM100,000 manakala Labuan dan Perlis menerima RM30,000,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini semalam.

Terdahulu, beliau meninjau beberapa kampung di sekitar Chukai termasuk Bandar Baru Bukit Mentok dan Kampung Pengkalan Pandan di sini dinaiki banjir.

Rina berkata, peruntukan tersebut merangkumi barangan makanan di depoh dan pengkalan hadapan serta barangan keperluan mangsa banjir di PPS.

Dalam perkembangan sama, Rina memberi jaminan bekalan makanan untuk mangsa banjir yang berada di semua PPS di Terengganu dan Kelantan mencukupi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI