fbpx

Dokumen PPM dipulangkan, SPRM tak ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSMIN HASHIM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengembalikan dokumen yang diambil daripada Public Performance Malaysia (PPM) Sdn. Bhd. bagi membantu penyiasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima oleh penggiat industri muzik di Malaysia.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim berkata, SPRM sudah memulangkan segala dokumen kepada PPM pada 17 Disember tahun lalu tanpa sebarang tindakan lanjut diperlukan.

“Sebagai Badan Pelesenan yang profesional, telus dan bertanggungjawab, PPM akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua perkara yang memerlukan perhatian mereka.

Menurut Rosmin, PPM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada SPRM kerana sudah menjalankan tugas dengan penuh integriti dan profesional.

“Lembaga pengarah PPM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai SPRM yang terbabit kerana berhemah dan profesional semasa menjalankan siasatan.

“Dengan pengembalian dokumen berkaitan, kami percaya isu ini berakhir dan kami boleh bergerak ke hadapan untuk terus mewakili kepentingan ahli kami secara terbaik” katanya.

Terdahulu, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap PPM walaupun tiada sebarang aduan dibuat oleh ahli mereka.

Menurut Rosmin, SPRM meminta beberapa dokumen untuk siasatan serta pelbagai kenyataan lisan dirakamkan oleh pegawai bertugas.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez dilaporkan meminta campur tangan SPRM dalam pertikaian mengenai royalti RM30 juta yang belum dibayar kepada artis rakaman. Beliau kecewa dengan kemungkinan beberapa ‘tangan tersembunyi’ memanipulasi kutipan royalti untuk keuntungan mereka sendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI