fbpx

‘Nour Rania tidak pernah tidur dalam buaian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSERI memangku erat mayat anaknya, Nour Rania di HTJ, semalam.

SEREMBAN – Kanak-kanak pe­rempuan berusia setahun tiga bulan yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di pusat jagaan kanak-kanak kelmarin tidak pernah tidur dalam buaian sebelum ini.

Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui pengasuhnya dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian kira-kira pukul 3 petang.

Mangsa sebelum itu ditidurkan bersama dua kanak-kanak lain di dalam sebuah bilik selepas diberi susu pada pukul 12.30 tengah hari. Pengasuh menjaga kesemua kanak-kanak berkenaan sebelum keluar dari bilik itu pukul 2 petang.

Bapa Nour Rania, Yuseri Yusoff, 39, berkata, anak bongsunya itu, berada dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pusat ja­gaan itu pagi kelmarin.

“Sebelum ini, anak saya tidak pernah tidur dalam buaian tetapi ketika kejadian pengasuh mele­takkannya di dalam buaian kerana dia susah hendak tidur.

“Saya terkejut apabila isteri memaklumkan anak sudah tidak bernafas dan pengasuh menghantarnya ke Klinik Kesihatan Sendayan pukul 3.45 petang.

“Bagaimanapun, selepas setengah jam doktor memaklumkan pernafasan anak sudah ‘tiada’,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban di sini semalam.

Yuseri memberitahu, kejadian itu menjadi ujian berganda kepada mereka selepas kehilangan anak kedua ketika masih bayi akibat komplikasi pada 2020.

Cerita Yuseri, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan ber­kenaan sejak setahun lalu, malah anak sulung berusia tujuh tahun pernah dihantar ke pusat jagaan sama sebelum ini.

“Saya terima kejadian ini ke­rana perkara sudah berlaku, yang selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pihak pusat jagaan ada me­minta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini. Difahamkan pihak polis turut merakam percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak ke pusat itu,” jelasnya.

Nour Rania dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Kundang, Batu 14, Hulu Langat semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia pukul 4.30 petang oleh doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Sendayan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, bayi berkenaan ditidurkan pengasuh di dalam sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain selepas diberikan susu pada pukul 2.30 petang.

“Kira-kira pukul 2 petang, pengasuh telah keluar dari bilik untuk tugasan lain sebelum kembali pukul 3 petang dan mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bahagian leher dan kepala­nya telah terkeluar daripada kain buaian sementara badannya masih di dalam buai berkenaan.

“Pengasuh kemudian memberi bantuan pernafasan sebelum mem­bawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dua pengasuh berada di pusat jagaan yang beroperasi di sebuah rumah teres satu tingkat dengan 15 orang kanak-kanak lain termasuk Nour Rania.

Nanda berkata, pusat jagaan yang diusahakan dua pengasuh itu telah beroperasi sejak penghujung 2019 dan mereka menjaga kanak-kanak berusia enam bulan hingga tujuh tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI