fbpx

Pusat kecantikan estetik tanpa tauliah guna peralatan, ubatan berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan pusat kecantikan estetik tanpa tauliah yang di serbu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Isnin lalu didapati menggunakan peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peralatan perubatan dan ubat-ubatan itu sepatutnya hanya boleh digunakan seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Beliau berkata, serbuan sama turut menemui peralatan pergigian di premis berkenaan yang disyaki turut digunakan untuk tujuan rawatan kepada pelanggan mereka.

“Siasatan awal mendapati premis tersebut menyediakan rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti kesihatan berdaftar serta berlesen dengan KKM, malah ia perlu dijalankan pengamal perubatan berkelayakan.

“Kes itu kini disiasat bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) tidak berdaftar.

“Pusat kecantikan itu didapati melanggar ketetapan Seksyen 3 dan, atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan bawah Seksyen 5, Akta yang sama,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Katanya, jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Manakala, bagi suatu kesalahan yang dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM500,000.

Dr. Noor Hisham berkata, beliau menasihatkan orang awam yang berhasrat mendapatkan rawatan estetik supaya mendapatkan rawatan di KPJKS yang berdaftar atau berlesen.

Menurutnya, orang awam juga perlu memastikan pengamal perubatan berkenaan mempunyai Letter of Credentialing and Previleging (LCP) bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diterima adalah selamat dan berkualiti. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI