PETALING JAYA – Konsep perumahan mampu milik, namun rakyat daripada golongan B40 tidak berupaya untuk memilikinya ekoran penawaran harga sekitar RM250,000 hingga RM300,000 seunit yang disifatkan tidak bersesuaian dengan pendapatan bulanan mereka.
Keadaan itu bukan sahaja membantutkan hasrat golongan B40 untuk memiliki kediaman impian, malah menyebabkan mereka terpaksa menyewa rumah sampai tua.
Penganalisis Ekonomi di Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmad Razman Abdul Latiff berkata, penawaran harga rumah mampu milik yang tidak seiring pendapatan bulanan keluarga B40 menyebabkan ramai rakyat gagal mendapatkan pinjaman bank untuk tujuan itu.
“Jika kita tengok, golongan B40 adalah kumpulan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah RM4,850. Berdasarkan pengiraan, mereka hanya layak membeli rumah dengan harga tidak melebihi RM174,600.
“Bagaimanapun, penawaran harga rumah mampu milik sekarang ini melebihi had kelayakan gaji mereka dan nilai itu belum lagi termasuk dengan caj berganda lain yang dikenakan pihak pembiayaan pinjaman,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah yang membelenggu golongan B40, Ahmad Razman menyarankan satu kaedah pembiayaan menggunakan konsep ‘musharakah mutanaqisah’ dapat diwujudkan kerajaan.
Berita berkaitan: Harga rumah naik melonjak berbanding gaji
Katanya, ‘musharakah mutanaqisah’ merupakan satu konsep pemilikan bersama yang membolehkan pembeli berpotensi memiliki rumah selepas satu tempoh tanpa melibatkan unsur faedah dan riba.
“Ketika ini, pembayaran pembelian rumah dibuat melalui pinjaman bank melibatkan unsur faedah dan adakala nilai faedah melebihi harga asal rumah.
“Sebagai contoh, rumah berharga RM300,000 yang dibiayai melalui bank selama 30 tahun dengan kadar faedah enam peratus menyebabkan pembeli membayar RM1,798 sebulan dengan jumlah keseluruhan pinjaman sebanyak RM647,514,” ujarnya.

Berbeza dengan konsep ‘musharakah mutanaqisah’, Ahmad Razman berkata, pembeli hanya perlu membayar sejumlah wang selain sewa bulanan bagi pemilikan rumah itu daripada sesebuah agensi atau koperasi.
“Melalui sistem ini, agensi atau koperasi akan membeli rumah daripada pemaju pada harga tertentu. Contohnya, 10 unit rumah pada harga RM300,000 dan mereka akan menerima diskaun kerana pembelian pukal.
“Jika pemaju menawarkan diskaun RM1 juta, koperasi atau agensi tertentu hanya membayar RM2 juta sebelum menjualnya kembali kepada pembeli dengan harga RM300,000,” katanya.
Menurutnya, jika pembeli membayar RM30,000 sebagai bayaran awal untuk membeli rumah tersebut, ini bermakna mereka mempunyai pemilikan sebanyak 10 peratus dan baki berjumlah RM270,000 masih dimiliki pihak koperasi.
“Seterusnya, pembeli hanya perlu melunaskan bayaran sewaan bulanan mengikut tempoh ditetapkan sebelum akhirnya mereka dapat memiliki rumah itu tanpa membayar faedah tinggi seperti pinjaman bank.
“Jadi, kerajaan perlu memperhalusi kaedah ini dalam pembelian rumah memandangkan pembiayaan sekarang ini dilihat menekan pembeli selain berpotensi menyebabkan ramai gagal memiliki rumah sendiri,” ujarnya.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan gesaan orang ramai yang meminta kerajaan menyegerakan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik.
Pembinaan rumah itu memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri, sekali gus menjimatkan wang mereka selepas terpaksa menanggung kadar sewa yang sangat tinggi selama bertahun-tahun.














