fbpx

‘Bakat’ seni jadi jenaka dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAJAH-WAJAH pemilik 'bakat' istimewa yang pernah menghiburkan dunia.

SENI itu sifatnya halus. Bukan semua orang dilahirkan dengan kurniaan bakat tersebut. Kalau dipaksa-paksa, besar kemungkinan menjadi bahan hiburan atau jenaka orang sekeliling.

Itulah yang terjadi dalam industri hiburan tanah air baru-baru ini melibatkan seorang usahawan kosmetik. Selain menjadi bahan jenaka dalam media sosial, individu tersebut juga mencetus rasa simpati daripada orang ramai.

Buat mereka yang membesar dengan program realiti seperti American Idol atau X Factor, pasti masih basah dalam keringat insiden-insiden lelucon sewaktu sesi uji bakat.
Sehubungan itu, HibGlam merangkumkan antara momen uji bakat ‘popular’ suatu ketika dahulu yang barangkali masih berbekas dalam sanubari ramai, namun memerlukan sedikit imbasan.

Trio Gabe

SEORANG lelaki dikenali sebagai Trio Gabe hadir ke uji bakat Indonesian Idol empat tahun lalu dan mencetuskan fenomena tersendiri. Masakan tidak, setakat artikel ini ditulis, video ujibakatnya sudah ditonton 30 juta kali dalam YouTube. Dahsyat.
Gabe menceriakan meja juri yang ketika itu yang terdiri daripada Ari Lasso, Armand Maulana, Judika dan Maia Estianty dengan telatah bersahaja saat proses audisi.
Walaupun tidak mempunyai bakat nyanyian, Gabe mencuri perhatian juri dengan karakter tersendiri termasuk mahir berpantun.
Apa yang menjemput pujian ketika sesi uji bakat tersebut adalah sikap ‘sporting’ para juri ketika itu yang tidak menjatuhkan air muka peserta termasuk Gabe walaupun dirinya tidak layak dicanang sebagai peserta bintang realiti.

Ken Lee

Masih ingat tahap keyakinan tinggi seorang peserta bernama Valentina Hasan atau lebih dikenali dengan nama ‘Ken Lee’? Wanita berkenaan mendendangkan lagu asal nyanyian diva pop dunia, Mariah Carey berjudul Without You ketika sesi uji bakat Bulgarian Idol yang menerima nasib lebih kurang sama seperti William Hung.

Nasib sama bermakna, dia masih diingati hingga sekarang disebabkan nyanyian sumbang dan lirik ‘berterabur’ ketika menyanyikan lagu malar hijau tersebut. Buat peminat lagu tersebut, Without You telah ‘terbahagi’ kepada dua rendisi iaitu versi Mariah dan versi wanita berkenaan.

Mengakui penguasaan bahasa Inggerisnya lemah ketika mendendangkan lagu tersebut, Valentina bagaimanapun menjadi popular bukan sahaja di Bulgaria bahkan di peringkat global apabila video ujibakatnya ditonton berjuta-juta orang dalam YouTube.

Aaron

Lelaki bernama Aaron ini datang ke uji bakat bersama ‘keanehan’ luar biasa. Menggayakan pakaian formal dengan fesyen rambut ‘skema’, Aaron hadir untuk audisi program realiti, X Factor United Kingdom beberapa tahun lalu.

Menyanyikan lagu Heal The World nyanyian asal mendiang Michael Jackson, Aaron membuatkan para juri ‘terpaku’ dengan persembahannya apabila lagu popular tersebut kedengaran 100 peratus berbeza daripada versi asli.

Pun begitu, walaupun boleh dikatakan keseluruhan tempo nyanyiannya ‘ke laut’, Aaron berjaya menghabiskan persembahan. Gelagatnya membuatkan para juri tersenyum dan tertawa dengan gaya nyanyian penuh yakin serta tarian menghiburkan. Difahamkan, Aaron merupakan seorang pelancong ‘backpacker’ ketika itu.

William Hung

Pasti ramai masih ingat dengan gelagat individu bernama William Hung yang pernah menjalani uji bakat American Idol musim ketiga sekitar 2004.

Mendendangkan lagu She Bangs dendangan asal Ricky Martin, dia mencetuskan fenomena luar biasa biarpun uji bakatnya tercatat sebagai antara yang terburuk dalam sejarah penganjuran program realiti terbabit.

Kehidupannya bertukar sekelip mata. Hal ini kerana, biarpun tidak mempunyai bakat nyanyian, dirinya tetap popular sehingga berjaya melahirkan dua album studio berjudul Inspiration dan Miracle: Happy Summer From William Hung. Dia kini bekerja sebagai pakar motivasi dan tidak lagi aktif dalam dunia nyanyian.

Fouad Djaoublia

Seorang pelayan restoran bernama Fouad hadir ke salah satu uji bakat X Factor United Kingdom dan turut meraih perhatian luar biasa. Yakin menyanyikan lagu Vision of Love dendangan asal Mariah Carey, dia yang berasal dari Perancis turut menempa populariti segera sebagai seorang penyanyi.

Katanya ketika sesi uji bakat tersebut, adalah menjadi impiannya untuk menjadi artis rakaman. Walaupun impian hanya tinggal impian, lelaki itu berjaya membuktikan kepada dunia bahawa jika untuk menjadi popular, kadang-kadang kita tidak perlu memiliki bakat muzik yang sebenar.

Biarpun menyanyikan lagu Vision of Love dengan nada sumbang, Fouad berjaya membuatkan salah seorang juri ketika itu, Simon Cowell ‘ternganga’ disebabkan gaya nyanyiannya seperti sedang dirasuk zombi, namun penuh keyakinan bahawa dirinya mempunyai bakat menyanyi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI